DOHA: Sehelai permaidani bertatahkan mutiara yang dipercayai ditenun di India lebih 100 tahun lalu sebagai hadiah untuk makam Nabi Muhammad saw telah dijual di Qatar kelmarin dengan harga hampir AS$5.5 juta ($8.3 juta), menurut laporan semalam.
Menurut dewan lelongan Sotheby's, mereka telah menjangka tawaran bagi permaidani yang diberi nama julukan 'Permaidani Mutiara dari Baroda' itu akan bermula pada harga AS$5 juta dan percaya ia boleh mencapai harga lebih tinggi.
Namun, harga permulaan telah diturunkan kepada AS$4.5 juta kerana kurang pembeli, kata jurucakap Sotheby's, Encik Habib Basha, kepada AFP di Doha.
'Kami terpaksa menurunkan harga tawaran awal kepada AS$4.5 juta dan (akhirnya) permaidani bertatah mutiara itu dijual dengan harga AS$5.458 juta (termasuk bayaran komisen),' kata beliau.
Pembelinya merupakan salah seorang daripada tiga pembida tetapi beliau tidak mahu namanya didedahkan, tambah Encik Basha.
Permaidani itu dipercayai ditenun atas permintaan Maharaja Baroda untuk dihadiahkan kepada makam Nabi Muhammad saw di Masjid Nabawi di kota suci Madinah al-Munawwarah, kata Sotheby's menerusi laman webnya.
Maharaja berkenaan meninggal dunia sebelum hadiah itu dapat diserahkan dan permaidani bertatah mutiara itu terus kekal dalam simpanan keluarganya.
Seluruh permukaan permaidani itu amat cantik - dihiasi dengan tatahan kira-kira dua juta butir mutiara asli dipanggil 'basra' yang diperoleh dari perairan Teluk Parsi.
Permaidani itu dipamerkan pada 1902 hingga 1903 sebagai kemuncak Pameran Delhi dan kemudian dipindahkan ke Monaco.
Ia dipamerkan sekali lagi 80 tahun kemudian di New York pada 1985.
Permaidani itu merupakan antara sejumlah barang kesenian Islam yang sedang dilelongkan di Doha sekarang. -- AFP.
Saturday, March 21, 2009
PERMAIDANI BERTATAH MUTIARA DIJUAL LEBIH AS$5 JUTA
2009-03-21T12:16:00+08:00
Kerajaan Rakyat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)