Followers

Saturday, April 25, 2009

Final Piala FA, malam ini


KESEBELASAN skuad The Red Warriors yang turun dalam final Piala FA, malam ini bukan saja menggalas harapan tinggi penyokong, malah bekas pemain skuad Kelantan 1970 - kali terakhir negeri itu layak ke pentas final - turut mengharapkan sejarah baru dicipta di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Wan Hassan Wan Ibrahim, 58, - bekas pemain tengah Kelantan yang beraksi dalam final Piala Malaysia 1970 berharap anak didik Peter Butler mampu melangsaikan misi merebut kejuaraan domestik utama buat kali pertama - sesuatu yang gagal disempurnakan 39 tahun lalu.

Bagi Wan Hassan yang berusia 18 tahun ketika menyarung jersi Kelantan dalam aksi menentang Perak di Stadium Merdeka itu, skuad kali ini berpeluang cerah muncul juara berdasarkan prestasi konsisten yang ditunjukkan sepanjang musim ini.

“Sudah tentu saya mahu melihat Kelantan muncul juara sekali gus mengatasi pencapaian skuad 1970, saya yakin mereka mampu menjulang Piala FA, saya berkata begini bukan atas sentimen kenegerian, tetapi saya berasa mereka lebih baik berbanding Selangor.

“Bagaimanapun, sebagai skuad yang penuh tradisi dan berpengalaman, Selangor bukan calang-calang pasukan dan mereka bijak mengambil kesempatan jika pemain Kelantan leka seperti yang berlaku dalam dua perlawanan Liga Super sebelum ini,” katanya di Kota Bharu, semalam.