
BANGKOK: Thailand semalam berkata ia tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Nicaragua selepas negara Amerika Tengah itu mengumumkan bahawa ia telah memberikan pasport diplomatik kepada mantan perdana menteri Thailand yang digulingkan, Encik Thaksin Shinawatra.
'Kami mempunyai hubungan diplomatik dengan Nicaragua tetapi tiada perjanjian ekstradisi,' kata jurucakap Kementerian Luar Thailand, Encik Tharit Charungvat, kepada agensi berita AFP.
Encik Tharit berkata Thailand 'belum lagi' mengeluarkan bantahan rasmi kepada pihak berkuasa di Managua.
Dalam kenyataannya, Nicaragua berkata Encik Thaksin telah dilantik sebagai 'seorang duta Nicaragua bagi misi khas' untuk membantu menarik pelaburan.
'Nicaragua boleh memberikan apa sahaja yang mereka mahu,' kata Encik Tharit kepada AFP.
Kelmarin, pihak berkuasa Thailand berkata mereka telah membatalkan pasport Encik Thaksin selepas para penyokongnya merempuh lokasi satu persidangan puncak Asia di sebuah pusat peranginan di kawasan pantai Thailand pada hujung minggu lalu hingga memaksanya dibatalkan.
'Kementerian boleh membatalkan atau menarik balik pasport jika ia boleh membuktikan bahawa seseorang itu telah menyebabkan kerosakan ke atas negaranya,' kata seorang jurucakap kerajaan Thai, Encik Panitan Wattanayagorn, ketika itu.
Encik Thaksin digulingkan dalam satu rampasan kuasa tentera pada 2006 dan hidup dalam buangan untuk mengelak diri daripada hukuman penjara dua tahun atas kesalahan rasuah.
Kelmarin, Encik Thaksin menggesa Raja Bhumibol Adulyadej, yang dihormati kebanyakan rakyat Thai, supaya membantu menghentikan pergolakan politik yang mencetuskan bantahan ganas. -- AFP, Reuters.