TIGA hari lagi hari mengundi dan suasana di kawasan Parlimen Bukit Gantang semakin hangat.Ketiga-tiga calon yang ingin merebut kerusi parlimen itu dan para penyokong masing-masing gigih meningkatkan kempen mereka.
Pelbagai taktik digunakan, termasuk taktik 'cemar-mencemari' satu sama lain dan janji-janji pembangunan bagi penduduk tempatan disajikan dalam majlis-majlis ceramah, dialog rakyat dan kunjungan calon demi meraih undi untuk Selasa ini.
Namun, usaha memancing undi sekitar 63.5 peratus pengundi Melayu di Bukit Gantang dipercayai menjadi faktor kritikal dan tumpuan di kalangan calon-calon yang bertanding untuk menjadi Ahli Parlimen (AP) kawasan itu - khususnya Barisan Nasional (BN) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Keseluruhannya, kawasan Parlimen Bukit Gantang mempunyai sejumlah 55,562 pengundi berdaftar. Kira-kira 27.1 peratus daripadanya adalah pengundi Cina, manakala 9.1 peratus adalah pengundi India, dan 0.2 peratus pengundi kaum lain.
Kawasan pilihan raya kecil itu merangkumi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) - Terong, Changkat Jering dan Kuala Sepatang.
Ia diadakan selepas penyandang kerusi kawasan itu, Haji Roslan Shahrom, wakil PAS, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 9 Februari lalu.
Tiga calon - Encik Ismail Saffian (Umno-BN), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PAS) dan Encik Kamarul Ramizu Idris (calon Bebas) - akan bertanding untuk mengisi kerusi parlimen tersebut.
Undi Melayu
Bisikan-bisikan awal suara akar umbi dari kawasan-kawasan perkampungan Parlimen Bukit Gantang lebih memihak kepada Umno-BN berbanding PAS.
Seorang sumber Umno Bahagian Bukit Gantang berkata beliau yakin paras sokongan pengundi Melayu yang diberikan kepada parti itu selepas berkempen selama enam hari sejak hari penamaan calon kini melebihi 50 peratus.
Kelmarin, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyifatkan kemampuan Umno-BN menambat hati pengundi Melayu sebagai berpunca daripada 'angin perubahan sikap yang amat menggalakkan' bagi pihaknya.
BN melihat 'kejayaan' itu berpunca daripada keberkesanannya dalam melaksanakan pendekatan yang lebih mesra rakyat.
PAS pula mengakui parti itu berada di belakang Umno. Ia akur bahawa kurang mendapat sokongan khususnya di kalangan penduduk lebih tua di kawasan perkampungan.
Malah, satu sumber PAS semalam memberitahu akhbar Berita Harian bahawa parti itu telah memulakan kempen dengan sokongan kirakira 43 peratus daripada 35, 281 pengundi Melayu.
Namun, Pengarah Pilihan Raya Bukit Gantang PAS, Datuk Mustafa Ali, dalam sidang akhbarnya di markas PAS di Air Kuning, semalam berkata partinya tidak kehilangan pengundi lalu kerana PAS memang memulakan kempen pada paras sokongan lebih rendah daripada Umno.
'Sekarang ini kita sedang mengejar (mereka)... sudah dekat dah, tapi saya tidak akan dedahkan,' katanya.
Para pemerhati politik yang dihubungi semalam melihat beberapa isu, termasuk kedaulatan institusi raja, kekurangan pendedahan di kalangan penduduk kampung kepada media selain daripada media arus perdana, dan dakwaan calon PAS sebenarnya calon Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebagai faktor yang menarik pengundi Melayu daripada PAS kepada Umno.
Datuk Mustafa, bagaimanapun, menolak andaian itu sambil menekankan bahawa jumlah pengundi yang berbelah bahagi terhadap isu institusi raja hampir sama.
Namun, penekanan isu perkauman yang sering ditimbulkan UmnoBN kepada pengundi Melayu - contohnya, penyebaran risalah 'Melayu Mesti Bijak Berpolitik' yang menggesa para pengundi Melayu di sana agar mengambil 'iktibar' daripada apa yang berlaku dalam senario sejarah politik Singapura - jelas memperlihatkan Umno sanggup melakukan apa sahaja untuk memancing undi Melayu.
Ini, walaupun fakta yang diberikan dalam risalah itu bercorak negatif dan tidak objektif terhadap negara jirannya itu.
Namun, adanya pandangan di kalangan sesetengah pengundi Melayu bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar 'dianiayai' jentera BN boleh mengubah haluan pengundi Melayu terhadap PAS atas dasar simpati.
'Menjelang 7 April ini kita akan menutup jurang itu, insya-Allah. Bagaimanapun, dari segi sokongan pengundi Cina dan India di Bukit Gantang, PAS masih lagi mendahului BN,' kata Datuk Mustafa.
Berdasarkan beberapa pilihan raya lalu di kawasan berkenaan, undian Melayu hampir sama rata antara BN dengan PAS
Pada pilihan raya umum Mac tahun lalu, 53 peratus pengundi menyokong BN, dan jika jentera Umno menjalankan tugasnya dengan baik, ia mungkin dapat menambat hati lebih ramai pengundi Melayu - lebihlebih lagi jika isu tengkarah pembangkang terhadap institusi diraja ditimbulkan dengan kerap.
Satu tinjauan Merdeka Centre baru-baru ini menunjukkan sebahagian besar tidak menyokong peralihan kuasa negeri Perak melalui lompat parti, tetapi lebih condong kepada diadakan pilihan raya untuk menghurai masalah perlembagaan negeri itu.
Namun, ia juga menunjukkan bahawa 50 peratus orang Melayu melihat peranan Istana mencerminkan keinginan rakyat, manakala 36 peratus menyatakan krisis politik di Perak itu akan menguntungkan pembangkang.
Satu lagi, perubahan kepimpinan dan pembaharuan yang cuba dibawa BN, serta penyertaan semula Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Umno dijangka berita positif dan pendorong kepada pengundi Melayu yang masih menyokongnya untuk mengundi Umno.
Berdasarkan tinjauan rambang ke atas beberapa penduduk, ia satu kemungkinan yang tidak boleh diambil ringan.
Yang jelas, sokongan pengundi Melayu menjadi tumpuan BN dan PAS.
Kedua-dua parti, khususnya PAS, dijangka gigih menambat hati pengundi Melayu dalam dua tiga hari ini.
Undi Bukan Melayu
Mereka, khususnya pengundi Cina dan India, difahamkan menjadi tunggak kekuatan PAS di Bukit Gantang sejak pilihan raya umum Mac tahun lalu.
BN pula mengakui ia memerlukan lebih masa bagi menarik sokongan masyarakat Cina berbanding pengundi Melayu dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang.
'Masyarakat Melayu agak mudah. Masyarakat Cina, mengambil masa sedikit. Sebab itu kita perlu memberikan penjelasan, bercakap dengan mereka, berjumpa dengan pemimpin masyarakat mereka,' kata Tan Sri Muhyiddin malam kelmarin.
Ada lebih 15,000 pengundi Cina berdaftar di kawasan Parlimen Bukit Gantang, manakala pengundi India pula membentuk lebih 5,000 orang.
Bagi BN, fokusnya ialah untuk memancing peratusan undi lebih besar di kalangan 36.2 peratus pengundi itu.
Namun, difahamkan bahawa calon PAS-Pakatan Rakyat (PR) telah bekerja keras dan berupaya menguasai sebahagian besar peratusan pengundi itu.
Maklumlah, Datuk Seri Mohammad Nizar fasih berbahasa Cina dan Tamil.
Setakat ini, calon PAS-PR dilihat mendahului pesaing lain.
Akhir kata...
Berdasarkan isu-isu yang ditimbulkan dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan seringnya penekanan diberikan terhadapnya, memancing undi Melayu adalah penting bagi BN dan PAS.
Malah, ia boleh menjadi penentu keputusan pilihan raya kali ini.
Sejauh ini, isyarat daripada kempen-kempen BN dan PAS menunjukkan bahawa pihak pembangkang perlu bekerja lebih keras untuk merebut kerusi parlimen kawasan itu daripada BN.
Namun, sedang masing-masing mempunyai peluang sama rata, perkembangan saat-saat akhir kempen mungkin tetap condong kepada pihak pembangkang Selasa ini.