SHAH ALAM, 8 April - Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor berharap kerajaan Persekutuan dapat menimbang untuk menubuhkan dana khas pilihan raya kecil seperti yang dilaksanakan negara-negara maju.Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata langkah itu bagi memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam soal perbelanjaan wang.
Abdul Khalid berkata kerajaan Persekutuan juga wajar menilai semula kos perbelanjaan pilihan raya kecil yang biasanya membabitkan jumlah yang besar memandangkan ia menggunakan wang pembayar cukai.
Dalam pada itu, Abdul Khalid turut mengucapkan tahniah kepada pemenang di tiga kawasan pilihan raya kecil yang menyaksikan dua kerusi iaitu Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah dimenangi PR manakala kerusi Batang Ai, Sarawak kekal di tangan Barisan Nasional (BN).
“Sesungguhnya, kemenangan di Bukit Gantang dan Bukit Selambau memberikan petunjuk betapa matangnya para pengundi di negara ini menggunakan hak-hak mereka yang dilindungi Perlembagaan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco petang tadi.
Beliau berkata walaupun segelintir pihak memainkan isu perkauman dan agama di dua kawasan berkenaan, namun majoriti pengundi dilihat lebih mengutamakan calon dan parti yang didukungi mereka.
Bagaimanapun Abdul Khalid berkata keputusan pilihan raya kecil di Batang Ai tidak menggambarkan sentimen sebenar penduduk tempatan yang masih dibelenggu dengan pelbagai sekatan termasuk akses terhadap media, komunikasi dan sistem pengangkutan.
Justeru katanya, pada masa depan tempoh masa untuk berkempen khususnya di kawasan pedalaman seperti di Batang Ai harus dilanjutkan bagi membolehkan bakal pengundi mendapatkan maklumat yang secukupnya. - NOOR ALLIA KASSIM