
AFRIKA SELATAN: Keputusan pilihan raya Afrika Selatan yang disiarkan hari ini menunjukkan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) bakal menerajui kerajaan negara itu tetapi berdepan kemungkinan kekurangan undi majoriti dua pertiga di Parlimen.
Bagaimanapun, ia mengesahkan kemenangan keseluruhan parti pemerintah dan menyaksikan Jacob Zuma yang diselubungi dengan kontroversi, bakal dilantik Presiden.
Keputusan pilihan raya yang hampir selesai itu menyaksikan ANC hilang kuasa di wilayah terkaya negara itu kerana penentangan daripada pengundi pelbagai kaum.
Penyokong Zuma sudah meraikan kejayaan itu sejak berakhirnya tempoh pengundian Rabu lalu apabila kemenangan parti berkenaan tidak diragui lagi.
ANC berpendapat Zuma adalah pemimpin pertama yang mampu menyemarakkan pengundi sejak pemimpin lagenda, Nelson Mandela.
Namun ada pihak berpendapat, Zuma banyak berhutang dengan kesatuan dan pihak berhaluan kiri serta tidak mampu untuk memenuhi janjinya dalam menawarkan pekerjaan dan menyediakan aspek keselamatan sosial yang lebih kukuh. - AP