Followers

Monday, September 7, 2009

Lelaki amuk, tembak mati isteri dan anak sebelum bunuh diri

HOLDEN (Louisiana): Seorang lelaki menembak mati isteri dan anak lelakinya semalam, kemudian membunuh diri dalam keretanya apabila para pegawai polis cuba menahannya, kata pihak berkuasa di Louisiana.

Kejadian amuk itu berpunca daripada pertikaian berlarutan antara Dennis Carter Sr, 50 tahun, dan isterinya, Cik Donna Carter, 49 tahun, yang memohon perintah larangan ke atas suaminya, kata Ketua Operasi Pejabat Syerif Livingston Parish, Encik Perry Rushing.

Cucu lelakinya, Mason Carter, dua tahun, dipercayai mati setelah terjatuh ketika cuba melarikan diri melalui tingkap di tingkat dua rumah mereka.

Polis berkejar ke rumah mereka, yang terletak di Holden, kira-kira 112 kilometer ke barat laut New Orleans, sekitar 10.30 malam Sabtu lalu, selepas mendapat panggilan orang ramai.

Setiba di sana, polis menemui mayat isteri lelaki itu dan anak lelaki mereka, Dennis Carter Jr, 26 tahun, manakala mayat cucu lelaki itu ditemui di luar rumah.

Ibu budak itu, Cik Amber Carter, yang hamil enam bulan, dikejarkan ke hospital kerana kecederaan yang dialami akibat ditembak bapa mentuanya itu.

Encik Rushing berkata polis mengesan lelaki itu 20 minit kemudian di sebatang lebuh raya.

Apabila mereka cuba menahannya, Carter Sr menembak dirinya sendiri. -- AP.