Dato' Menteri Besar Selangor mengadakan perbincangan dengan saudagar arak di Bangunan SSAAS, Shah Alam. - AHMAD FADHLI YAHYAKerajaan negeri Selangor mengambil jalan tengah dalam menangani isu penjualan minuman beralkohol dan masalah sosial berhubung dengan minuman keras.
Demikian pendirian kerajaan negeri setelah satu perjumpaan diadakan dengan lebih 80 wakil dari persatuan saudagar arak, peruncit dan pemborong arak, persatuan pengguna dan persatuan penduduk di Bangunan Annex petang tadi untuk mendapatkan maklum balas mengenai isu penjualan minuman keras di Selangor.
“Pihak kerajaan tidak menghalang perniagaan penjualan minuman beralkohol, tetapi kerajaan faham akan keresahan masyarakat berkenaan masalah sosial dan berusaha mencari jalan penyelesaian,” kata Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid ketika merumuskan hasil perjumpaan petang tadi.
Beliau berkata, ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dijangka mengadakan perbincangan semula berhubung isu tersebut agar semua pihak dapat kebaikan.
Perjumpaan yang dipengerusikan oleh Dato Menteri Besar sendiri itu dihadiri wakil dari 7-Eleven, Tesco, Giant, Confederation of Malaysian Brewers, Jabatan Agama Islam Selangor, kastam, polis, PBT dan ahli majlis telah memberi cadangan masing-masing bagi mengatasi isu tersebut.
Antara cadangan dikemukakan dalam pertemuan dua jam itu adalah mengupah pekerja bukan Muslim untuk menguruskan penjualan arak, menetapkan waktu penjualan arak, serta mengadakan program pendidikan bagi mempertingkatkan kesedaran masyarakat tentang kesihatan.
“Kerajaan negeri tidak mengambil langkah drastik seperti mengharamkan penjualan minuman beralkohol sepenuhnya memandangkan rakyat di Selangor terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu dalam sidang media selepas perjumpaan itu.
Sambung beliau, garis panduan dan undang-undang kecil itu dijangka diputuskan dalam tempoh terdekat untuk diguna pakai secara seragam oleh semua PBT bagi memastikan penyalahgunaan arak tidak berlaku.
Beliau melihat perbincangan hari ini sangat penting kerana ia memberi panduan kepada kerajaan negeri khasnya PBT mengadakan garis panduan dan undang-undang kecil secara pratikal bersesuaian dengan keadaan Selangor.




