JAKARTA: Kopi termahal di dunia, dikenali sebagai kopi luwak, yang dihadiahkan Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono (gambar), kepada Perdana Menteri Australia, Encik Kevin Rudd, telah dirampas pegawai kastam negara itu, lapor The Jakarta Globe, semalam.
Kopi luwak merupakan kopi paling sedap dan unik dalam pasaran kerana ia merupakan kopi yang di sangai selepas ditelan oleh musang dan keluar semula bersama najisnya. Ia dijual dengan harga AS$600 (RM2040) sekilogram.
Namun, pegawai kastam Australia berkata kopi berkenaan perlu mendapat permit khas untuk dibawa masuk ke negara itu.
Ini kerana ia 'berpotensi dicemari dengan patogen berbahaya,' kata Perkhidmatan Pemeriksaan dan Kuarantin Australia (AQIS).
'Kopi luwak memerlukan permit import dari AQIS untuk dibawa masuk ke Australia, dan proses itu sedang dilakukan,' kata jurucakap Encik Rudd ditukil Sydney Morning Herald. -- Agensi.
