"Setiap kali mesyuarat exco negeri juga saya akan bacakan doa," kata Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang turut menjelaskan doa itu adalah untuk menghindari dirinya dan pemimpin kerajaan negeri daripada sifat rasuah.
"Kami tak mampu menghadapi azab neraka di akhirat nanti,"
Pasal berdoa ni tak payah ceritalah Tan Sri !! Pemimpin Umno juga berdoa, malah lagi panjang doa mereka tetapi rasuah mereka kebas juga.
Tan Sri, apa yang ahli dan penyokong mahu ialah Tan Sri sedar jawatan Menteri Besar yang Tan Sri pegang sekarang ialah jawatan politik, bukan jawatan korporat!! Dalam titipan di laman ini enam bulan selepas Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di Selangor telah saya nyatakan bahawa mentadbir negeri terlalu jauh bedanya dengan mentadbir sebuah syarikat konglomerat. Konglomerat menghidu hanya kepada keuntungan, tetapi politik harus menjana keuntungan dan dalam masa yang sama menatang harapan, persepsi dan impian rakyat.
Selangor amat bertuah kerana mendapat seorang Menteri Besar yang berlatarbelakangkan ahli koporat yang berilmu dan amat berpengalaman tetapi malang bagi Pakatan Rakyat Selangor kerana itulah maka ada ahli yang berhujah: "Saya cadang kerajaan negeri Pakatan supaya mengutamakan penjawat penting di kalangan parti yang layak.
"Ramai di kalangan kita yang layak, bukan sekadar mempunyai segulung ijazah tapi dengan pengalaman yang ada.
"Ahli yang layak ini, yang setia kepada parti inilah yang akan bawa agenda parti dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat," kata wakil Selangor, Sarimah Lisut.
Kenyataan Sarimah Lisut amat tepat dan di atas kekurangan inilah yang telah menyebabkan ramai pendukong dan penyokong parti merasakan jasa mereka tidak dihargai olih pimpinan peringkat negeri.
Saya telah lama dulu menyentuh perangai segelintir pemimpin Pakatan Rakyat, Keadilan khasnya.
Pemimpin-pemimpin ini yang dulunya bertindak sebagai "Wakil Rakyat" yang menyampaikan suara rakyat, yang sanggup berhujan dan berpanas bersama rakyat, yang menentang dengan lantang, keras dan bersemangat isu-isu berkaitan penindasan terhadap rakyat telah bertukar wajah. Suara mereka menjadi semakin lunak tetapi meloyakan. Mereka lebih kerap berbincang tetapi tidak lagi dengan rakyat dijalanan, desa atau kampung. Mereka berdiskusi di dewan-dewan besar dengan hidangan mewah. Mereka bermesyuarat tidak lagi di restoran-restoran atau balairaya tetapi di Dewan Majlis Perbandaran, Dewan Undangan Negeri dan Dewan Negara atau setidak-tidaknya di lobi-lobi hotel 5 Bintang. Kemeja T menjadikan badan mereka gatal dan melekit. Mereka 'terpaksa' berkemeja panjang dengan kot berjenama. Sila rujuk di sini.
Setelah lebih 2 tahun mentadbir Selangor nampaknya beberapa kerat pemimpin PKR peringkat negeri masih tidak sedar, lalai dan hanyut dibawa arus glamour sebagai bintang (kalau bukan binatang) politik. Sekitar Nov. 2009 saya menitipkan antara lainnya "Andainya menjelang awal tahun 2010 Kerajaan Negeri Selangor jatuh kepada regim umno/BN, itu memang patut!!" Baca di sini.
Semalam dalam ucapan penggulungannya di Kongres PKR, naib presiden parti, YB Lee Boon Chye berkata "Ada pimpinan negeri ada budaya tunjuk muka, 'face presentation'. Bila pimpinan tertinggi, ketua umum datang, dia muncul. Apabila ketua umum tak ada, dia tidur.
"Inilah budaya yang kita boleh saksikan sendiri, mereka yang letih tidak sanggup terus berjuang, biar orang yang lebih bertenaga ambil alih."
Segala kekurangan dan ketempangan yang telah disuarakan dengan ikhlas olih para perwakilan dalam kongres parti di Kota Baru semalam dan perkara yang sama pernah saya tegaskan dalam perjumpaan bersama DSAI, maka selepas ini saya amat berharap pucuk pimpinan parti tidak lagi berlenggah atau memberi pelbagai alasan demi menutup pekong sendiri.
Cukuplah dua tahun Selangor ditadbir seperti sebuah Syarikat Sdn. Bhd.!!! Rakyat tidak inginkan negeri kaya dengan pemimpin yang bergaya tetapi rakyat masih juga ditakok lama!
