Followers

Thursday, August 26, 2010

Jemaah iftar di Masjid Nabawi cecah 1juta sehari

Pemandangan dalam Masjid Nabawi di Madinah ~ Kerajaan Rakyat
MADINAH: Bilangan jemaah di Masjid Nabawi meningkat sehingga satu juta orang sehari pada bulan Ramadan menjadikan perbelanjaan bagi mengadakan majlis berbuka puasa semakin tinggi.

Sudah menjadi tradisi penduduk di Madinah menyediakan makanan bagi majlis berbuka puasa sejak sekian lama.

Walaupun Masjidil Haram di Makkah hanya membenarkan pemberian kurma dan kopi Saudi untuk berbuka puasa, pihak berkuasa di Madinah tidak menghalang tradisi pemberian makanan berbuka puasa oleh penduduk kepada jemaah Masjid Nabawi.

Ketua Perhubungan Awam dan Media di Masjid Nabawi, Encik Abdul Wahid Al-Hattab, berkata sejak 3 petang setiap hari pada bulan Ramadan, lebih 10,000 orang mula membawa makanan ke masjid.

Selepas solat asar, kain alas meja sudah mula dibentangkan.

Ia mungkin kelihatan sukar tetapi mereka yang menghidangkan makanan sudah mempunyai tempat masing-masing, kata Encik Abdul Wahid.

Kebanyakan mereka yang membantu menyajikan makanan itu terdiri daripada warga asing.

Tugas itu kelihatan berat kerana jumlah jemaah yang begitu ramai.

Ada yang menyediakan makanan untuk 100 orang, ada untuk 200 dan seterusnya.

Setiap tahun, mereka akan membawa makanan itu ke kawasan yang sudah ditetapkan.

Setiap jemaah akan dibekalkan dengan 170 gram dadih, roti dikenali sebagai Shraik, 250 gram kurma, dan kari serta kopi Saudi.

Makanan itu, termasuk plastik untuk membungkusnya, bernilai kira-kira 2.5 riyal ($0.90) bagi setiap seorang.

Ini bermakna sebanyak 2.5 juta Riyal ($900,000) dibelanjakan setiap hari untuk berbuka puasa di Masjid Nabawi.

Penduduk Madinah terkenal kerana kemurahan hati mereka.

Di pintu masuk, penganjur majlis berbuka puasa dan penderma lain akan mengarahkan anak mereka mempelawa jemaah berbuka di kawasan mereka.

Hanya 12 minit diperuntukkan untuk berbuka puasa sebelum mereka bersolat maghrib. -- Agensi.