Seperti yang saya pernah ramal sebelum ini, bagi yang mengetahui pencak silat politik Ibrahim Ali, sememangnya kita tahu Ibrahim Ali ini mempunyai cita-cita sendiri mempergunakan kedudukannya untuk terus relevan sebagai ahli politik di dalam negara ini.
Semalam, Ibrahim menyatakan kesediaan bagi membentuk pakatan politik baru setelah harapannya untuk bertanding sebagai calon Umno ditolak oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor. Malah, ramai pemimpin Umno juga menolak kembalinya Ibrahim yang juga Presiden Perkasa ke dalam Umno. Nyatalah Umno kali ini betul dan akur bahawa Ibrahim adalah liabiliti ke atas Umno seandainya diterima kelak.
Keberangan Ibrahim memuncak dan mendakwa dengan bangga bahawa ramai orang Melayu akan meninggalkan Umno jika beliau dan Perkasa tidak diterima oleh Umno. Beliau turut mendakwa sokongan Melayu terhadap Umno yang meningkat semasa pilihanraya-pilihanraya kecil sejak setahun lepas adalah disebabkan oleh Perkasa yang menyokong Umno.
Bagi saya, biarlah kita lihat sejauh mana dakwaan Ibrahim dalam hal ini. Ibrahim sebenarnya merasakan dirinya mendapat kekuatan daripada Tun Mahathir dan menggunakan Tun Mahathir bagi merelevankan dirinya yang kononnya dirinya adalah penentu undi Melayu. Ibrahim tidak tahu bahawa Perkasa hanya popular di media sahaja. Dan faktor kekuatan Tun Mahathir sebenarnya sudah mulai hilang apabila kelantangan Tun pada usia tua ini dibandingkan dengan kesenyapan Tun Abdullah yang sudah benar-benar pencen politik. Keadaan inilah membuatkan ramai orang sekarang yakin Tun Mahathir sudah sampai masanya untuk benar-benar bersara. Oleh itu, pegangan Ibrahim Ali ke atas pengaruh Tun Mahathir adalah satu kesilapan dan perhitungan yang lapuk untuk talian hidupnya dalam persada politik tanah air.
Di dalam portal berita di Internet pun, untuk makluman pembaca, tujuan cerita-cerita tentang gelagat Ibrahim yang selalu ’gedebe’ itu dimasukkan adalah bagi menaikkan trafik pembaca bahan di internet. Bahan-bahan ini memberi peluang kepada rakyat bagi meluahkan rasa kemarahan mereka ke atas Ibrahim. Jika dilihat komen-komen yang diberikan oleh pembaca di dalam bahan-bahan berkaitan dengan Ibrahim, boleh dikatakan hampir 90% mengutuknya atau dengan kata lain, mereka menggunakan internet bagi meluahkan rasa tidak suka akan telatah Ibrahim Ali.
Andaikata Ibrahim mengambil statistik banyak berita tentangnya yang disiarkan di dalam media sebagai petunjuk bahawa dia sangat popular, nyatalah sekali dia silap. Ini kerana beliau popular kerana tidak disukai ramai. Anda boleh sahaja lihat dalam Page Facebook KL-Today.com sendiri apabila bahan-bahan berita mengenai Ibrahim Ali menerima respon atau komen yang sangat negatif mengenai dirinya.
Jika hendak dilihat benar-benar pengaruh Perkasa itu di dalam masyarakat, kenapa penjualan surat khabarnya, Suara Perkasa semacam hidup segan mati tidak mahu? Jika jumlah ahlinya yang didakwa mencapai 200 ribu orang, mengapa akhbar keluarannya yang dijual dengan harga RM2.50 itu dengan jumlah keluaran sebanyak 25,000 naskah itu tidak terjual dengan mudah dengan pasaran yang sudah sedia ada. Jangan hendak salahkan pengedar sahaja yang kononnya takut hendak mengedar. Jika ahli yang didakwa beratus ribu orang itu boleh membelinya atas inisiatif ahli sendiri untuk beli di pejabat atau agen Perkasa, maka tidaklah lagi perlukan kepada vendor lagi.
Bukan itu sahaja, kenapa setiap kali demonstrasi Perkasa di jalanan hanya dihadiri penyokongnya kurang daripada 1,000 orang itupun dicampur dengan penyokong Pemuda Umno semasa demo serangan Israel konvoi kemanusiaan ke Gaza di Masjid Negara beberapa bulan lepas. Manakala pada masa yang sama yang dianjurkan oleh PAS dan PR dihadiri oleh berpuluh-puluh ribu orang umpama melaut di atas jalan raya di tengah-tengah bandaraya. Di manakah 200 ribu ahli Perkasa yang diomong-omongkan Ibrahim? Itu belum lihat lagi seramai mana rakan-rakan Perkasa dalam Fan Facebook, Google dan media yang lain jika dibandingkan dengan parti-parti lain.
Kesalahan Ibrahim kepada orang Melayu dan Islam sudah terlalu banyak. Terlalu banyak untuk disenaraikan di sini. Tetapi sudah cukuplah yang terakhir lagi jelas dengan menipu PAS Kelantan apabila memujuk Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk menggunakan platform PAS bagi memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas. Tidak sampai seminggu menjadi ahli Parlimen, terus-terang beliau menolak PAS di dalam apa sahaja isu dan mula merapatkan dirinya dengan Umno. Sikap ini adalah sikap yang tidak amanah, khianat dan tidak jujur sebagai seorang Islam dan juga tiada dalam kamus etika bangsa Melayu. Bukan sahaja membelakangi PAS dan parti-parti Pakatan Rakyat (PR), beliau juga dituduh ada terlibat di dalam usaha bagi menarik beberapa ahli Parlimen PKR yang berpaling tadah dan membentuk blok ’Bebas’ di dalam Parlimen.
Sekarang, Ibrahim semakin berang apabila usahanya merapati Umno dengan membawa platform Perkasa akhirnya tidak berjaya. Ibrahim nampaknya keseorangan lagi. Umno mungkin boleh menerima ahli-ahli Parlimen Bebas seperti Zahrain Hashim dan Zulkifli Nordin tetapi tidak Ibrahim. Ini adalah padahnya kalau berulangkali melakukan khianat sampaikan tiada sesiapapun akan mempercayainya lagi.
Di kala orang Melayu yang sudah berpecah kepada dua iaitu antara Umno dan PAS/PKR, cubaan Ibrahim yang ingin memecahkan lagi kepada 3 kumpulan seharusnya ditolak. Jika Ibrahim cuba juga menubuhkan parti Melayu alanya, nampak sangat perpaduan Melayu bagi dirinya adalah tidak sepenting nafsunya yang gilakan kuasa. Kita semua tahu bahawa amat penting bagi kita orang Melayu dan Islam bersatu dan buat masa sekarang sama ada memberi sokongan kepada Umno ataupun kepada PAS/PKR, kedudukan kita masih tidak tergugat. Namun, dengan menubuhkan parti baru, nyata itulah satu lagi perbuatan khianat yang tidak boleh diterima lagi.
Bagi pendapat saya, lagi molek Ibrahim Ali bertanding sebagai calon Bebas kerana itu lebih bermaruah dan bersemangat juang yang ikhlas daripada beliau bertanding atas tiket parti baru bakal ditajanya yang nampak berkepentingan politik sendiri dan pengkhianatan Melayu! Walau bagaimanapun, saya yakin ahli-ahli Umno yang menyertai Perkasa tidak semudah itu meninggalkan Umno kerana mereka dapat melihat Umno adalah kapal yang jauh lebih baik dari Perkasa jika ingin bertempur dengan kapal PAS/PKR yang semakin hari semakin ke hadapan.
Olih: Shaharul.
Nota: Kerajaan Rakyat menyiarkan titipan saudara Shaharul tetapi ianya tidak bermakna KR menyetujui keseluruhan maksud rencananya.
Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan perkembangan semasa dan selepas pilihanraya kecil di Sibu dan Hulu Selangor baru-baru ini yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com