Followers

Monday, October 25, 2010

Konsensus Bebas menyatakan rasa marah dan kesal

`
PENDIRIAN BERSAMA (COMMON STAND)
AHLI-AHLI PARLIMEN KONSENSUS BEBAS
Tarikh: 25 Oktober 2010

Skandal bekalan makanan sekolah, hospital dan kem tentera: satu perbuatan yang keji dan tidak bertanggungjawab

Konsensus Bebas menyatakan rasa marah dan kesal yang amat sangat apabila membaca Laporan Audit Negara 2009. Di dalam laporan tersebut, terdapat kes-kes melibatkan beberapa syarikat pembekal makanan swasta yang didapati membekalkan makanan dan bahan makanan yang tidak menepati piawaian dan spesifikasi kontrak. Kes-kes tersebut membabitkan pembekalan makanan kepada murid-murid sekolah di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT), hospital dan kem tentera.

Beberapa buah sekolah telah dibekalkan makanan yang kualitinya tidak mematuhi spesifikasi kontrak, manakala beberapa hospital pula telah dibekalkan makanan yang kualitinya, menurut laporan audit tersebut, boleh membawa keracunan makanan dan mudarat. Di kem tentera pula, bahan makanan yang dibekalkan sudah basi atau kuantiti yang berlebihan telah dipesan.

Konsensus Bebas mengutuk sekeras-kerasnya sikap tamak dan tidak bermoral pembekal-pembekal yang terbabit. Kanak-kanak sekolah diberikan makanan yang tidak berkhasiat, pesakit di hospital yang masih belum pulih dan menghadapi penyakit berisiko tinggi disuap makanan yang boleh menyebabkan keracunan, dan anggota tentera yang kita harapkan untuk bergadai nyawa demi kedaulatan negara telah diberi layanan yang sungguh buruk dengan dibekalkan makanan basi.

Konsensus Bebas juga mengkritik pihak pengurusan di sekolah, hospital dan kem tentera yang terbabit, yang sepatutnya memastikan bekalan yang diterima memenuhi spesifikasi pesanan. Perkara ini dikesan oleh Jabatan Audit Negara apabila mendapati pihak pengurusan tidak menjalankan kewajipan mereka untuk menjaga kebajikan anak murid, pesakit dan perajurit dari segi kualiti makanan. Sikap lepas tangan dan sambil lewa ini mestilah dihenti dan dibasmikan mulai sekarang.

Kementerian-kementerian Pelajaran, Kesihatan dan Pertahanan mestilah mengambil langkah serta-merta untuk menyiasat dan menghukum sesiapa yang telah mengabaikan tanggungjawab mereka dalam perkara ini. Di samping itu, semua sekolah di bawah RMT, hospital dan kem tentera mestilah diperiksa untuk memastikan kes yang serupa tidak terjadi. Murid-murid sekolah, pesakit hospital dan anggota tentera kita semuanya mestilah diberi makanan yang berkhasiat dan baik kualitinya. Mereka tidak sepatutnya dibiarkan menjadi mangsa ketamakan sesetengah pihak. Tidak ada gunanya Ketua Audit Negara membuat laporan sekiranya tidak ada apa-apa tindakan susulan oleh pihak-pihak yang berwajib.

Konsensus Bebas ingin mengucapkan syabas kepada Ketua Audit Negara kerana tekad dan ikhlas dalam menunaikan tanggungjawabnya untuk mengutarakan kepincangan yang ada dalam sektor awam.
 
Nota:
Kepada sesiapa yang tidak tahu siapa Konsensus Bebas ni, sila rujuk di sini dan sebahagian lagi di sini.
 
# # #

2 comments:

fidel castro said...

uhhhhhhhhhhhhh
katak katak di bawah tempurung ber onggggggg ongggggg lagi.
harap maaf lah saya tidak mengharap apa apa dari pihak katak katak. cuma saya nak tunggu kamu semua MATI KATAK

Anonymous said...

Statement diorang pun betul, isu yang diaorang bawak pun isu yang betul. Yang penting baik utk rakyat