Followers

Sunday, October 31, 2010

Pesawat bawa bungkusan bom dari Yaman

`

DIPAKSA MENDARAT UNTUK DIPERIKSA: Sebuah pesawat Emirates Airline (kanan) mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy, New York, kelmarin. Pesawat yang berasal dari Yaman itu dipintas dua jet pejuang tentera sewaktu memasuki ruang udara Amerika Syarikat kerana disyaki membawa bungkusan bom. - Foto AFP

WASHINGTON: Para pegawai keselamatan Amerika Syarikat semalam mencari bungkusan yang mencurigakan dalam pesawat-pesawat awam selepas Presiden Barack Obama berkata dua bungkusan berasal dari Yaman mengandungi bahan letupan dan merupakan 'satu ancaman pengganas'.

Langkah itu diambil selepas dua bungkusan mengandungi bahan letupan yang dikirim dari Yaman ke Amerika Syarikat dipintas semasa sebuah pesawat kargo singgah di Britain dan Dubai Jumaat lalu.

Dua bom berkenaan hendak dihantar ke saumaah (rumah ibadat) Yahudi di Chicago.

Para pegawai berkata sekutu Al- Qaeda di Yaman merupakan suspek utama.

Rumah Putih berkata ia menerima maklumat mengenai ancaman itu daripada Arab Saudi.

Washington, menurutnya 'sangat berterima kasih di atas bantuan mereka memberi maklumat mengenai ancaman yang datang dari Yaman.'

Presiden Obama serta-merta mengarahkan semua pesawat kargo di lapangan terbang Philadelphia dan Newark ditunda ke kawasan pengasingan dan diperiksa kerana dikhuatiri mengandungi bungkusan bom dari Yaman.

Jet pejuang Amerika dan Canada berkejar untuk memintas sebuah pesawat Emirates Airline ke New York. Namun pihak berkuasa Amiriah Arab Bersatu (UAE) berkata ia tidak membawa kargo dari Yaman.

'Kami akan mengambil langkah perlindungan tambahan bagi memastikan keselamatan rakyat kami,' kata Encik Obama dalam satu sidang akhbar khas di Rumah Putih.

Encik Obama berkata beliau mengesyaki sekutu Al-Qaeda di Yamanlah yang mendalangi komplot tersebut.

'Kami tahu Al-Qaeda di Semenanjung Arab yang berpangkalan di Yaman masih merancang hendak menyerang negara dan rakyat kami, juga sahabat dan sekutu kami,' kata Encik Obama.

Polis Dubai, dalam satu kenyataan, berkata bom yang dijumpai dalam pesawat dari Yaman itu amat canggih dan dibuat secara profesional.

Siasatan awal menunjukkan bungkusan dari Yaman itu termasuk sebuah alat cetak komputer yang ada kad SIM telefon tersembunyi dan dakwatnya mengandungi bahan letupan dikenali sebagai Pentaerythritol tetranitrate (PETN), yang letupannya boleh menyebabkan kemusnahan yang amat besar.

Pihak berkuasa Britain sedang menyiasat sama ada bungkusan itu mengandungi bom, kata Setiausaha Dalam Negeri, Cik Theresa May, semalam.

'Kami dapati ia memang mengandungi bahan letupan, tetapi belum jelas sama ada ia bom.' kata beliau.

Ekoran penemuan bungkusan berisi bom itu, pasukan keselamatan Yaman semalam melancarkan operasi memburu militan Al-Qaeda yang merancang hendak mengebom sasaran Yahudi di Chicago.

UPS dan FedEx, yang termasuk syarikat pengendali pesawat kargo terbesar di dunia, berkata mereka akan menghentikan pengiriman kargo dari Yaman. -- Agensi.