Tuesday, December 21, 2010
Ketegangan akan terus memuncak: Seoul teruskan latihan artileri peluru hidup
PULAU YEONPYEONG: Korea Selatan menjalankan latihan artileri peluru hidup di pulau ini semalam, di samping mengerahkan jet pejuangnya ke udara untuk mencegah serangan Korea Utara.
Latihan tersebut diteruskan meskipun terdapat ancaman perang daripada Pyongyang selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal mencapai persetujuan bagaimana hendak menghuraikan krisis di semanjung Korea itu.
Tentera Korea Selatan mengesahkan bahawa latihan itu bermula pada 2.30 petang dan berakhir 4.04 petang semalam.Seorang jurugambar Associated Press mendengar bunyi bedilan permulaan petang semalam.
Sejauh ini belum ada reaksi atau tindak balas tentera Korea Utara terhadap latihan itu.
Di Korea Selatan, beratus-ratus penduduk sudah dipindahkan ke kubu perlindungan bawah tanah.
Latihan itu dijalankan sebulan selepas Korea Utara membedil pulau tersebut pada 23 November lalu sebagai tindak balas terhadap latihan tentera Korea Selatan itu.
Serangan tersebut mengorbankan empat orang - dua askar marin dan dua penduduk awam di pulau itu.Seoul semalam berkata ia akan bertindak 'dengan tegas dan segera' terhadap sebarang provokasi oleh Korea Utara,Jet pejuang tebang di ruang udara Korea Selatan semalam bagi mencegah serangan Pyongyang.
Penduduk, pegawai dan wartawan di Pulau Yeonpyeong dan empat pulau lain sudah diarah supaya berpindah ke kubu bawah tanah menjelang latihan itu kerana bimbang serangan Korea Utara, kata jurucakap pemerintah, Encik Won Ji-young.
Kementerian Pertahanan berkata latihan artileri yang berlangsung selama dua jam itu melibatkan pelbagai senjata, termasuk meriam K-9, kata jurucakap kementerian, Encik Kim Min-seok, kepada pemberita.
Menjelang latihan itu, Presiden Korea Selatan, Encik Lee Myung- bak, semalam menggesa semua rakyat negaranya supaya bersatu dan berjaga-jaga terhadap serangan Korea Utara.
'Keselamatan peringkat tinggi datang daripada perpaduan rakyat,' kata beliau.
Para pegawai ditukil Yonhap sebagai berkata peluru daripada bedilan artileri semalam akan jatuh lebih 10 kilometer dari sempadan laut.
Namun Pyongyang mempertikaikan sempadan itu dan berkata minggu lalu bahawa Seoul akan menerima akibat jika mengadakan latihan tersebut.
'Boneka Korea Selatan yang berpakat dengan tentera asing mahu melakukan pencerobohan dan menjadikan suasana mendekati ambang peperangan,' kata akhbar Rodong Sinmun semalam.
China dan Russia berkata latihan ketenteraan oleh Seoul hanya akan meningkatkan ketegangan.
'Russia bimbang bahawa dalam masa beberapa jam ketegangan akan menjadi semakin serius,' tegas duta besarnya ke PBB, Encik Vitaly Churkin.
China pula menegaskan 'tiada sesiapa patut menggalakkan konflik' menyusuli latihan artileri peluru hidup oleh Seoul.'China sentiasa menegaskan keamanan dan kemantapan mesti dikekalkan di Semenanjung Korea,' kata Naib Menteri Luar China, Encik Cui Tiankai, kepada pemberita. -- AP, AFP. Reuters.
Labels:
News
Ketegangan akan terus memuncak: Seoul teruskan latihan artileri peluru hidup
2010-12-21T09:33:00+08:00
Kerajaan Rakyat
News|
Subscribe to:
Post Comments (Atom)