LABIS: Persatuan Anak-anak Peneroka Kebangsaan (Anak) akan terus mendedahkan penyelewengan Felda kepada pengundi Tenang, kata Presidennya, Mazlan Aliman.
Ketika dihubungi hari ini, Mazlan berkata, ini kerana ramai pengundi Tenang merupakan peneroka Felda.
“Antara isu utama ialah hutang penanaman semula yang terpaksa ditanggung oleh anak peneroka.
“Selepas kematian ibu bapa, ada yang terpaksa menanggung hutang hingga RM70, 000″, katanya.
Menurutnya, isu-isu ini perlu terus didedahkan supaya peneroka Felda Tenang mendapat maklumat sebenar mengenai isu yang berlaku dalam Felda.
Mengenai sambutan peneroka Tenang mengenai pendedahan yang dibuat Anak, Mazlan berkata, ia amat menggalakkan dan semakin “luar biasa’.
“Peneroka sudah mula membuka mata dan mula menerima maklumat-maklumat yang diberikan oleh Anak.
“Bukan mudah untuk peneroka Felda khususnya di Johor menerima pendedahan Anak tetapi kini sudah boleh menerimanya,” katanya.
Ahmad mewujudkan Anak sejak lebih setahun lalu bertujuan untuk membela peneroka yang didakwanya ditindas oleh Felda.
Penamaan calon pilihanraya DUN Tenang akan diadakan esok manakala pengundian pada 30 Januari.
Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Suleiman Taha dari Barisan Nasional akhir November lalu.
BN menamakan Azahar Ibrahim sebagai calonnya, manakala PAS mencalonkan bekas guru Normala Sudirman.
