Tsunami kebangkitan rakyat yang tercetus di Tunisia beberapa minggu lalu kini melanda Libya. Tsunami yang telah menumbangkan diktator kejam Hosni Mubarak di Mesir minggu lepas, kini meluncur lebih pantas dengan tenaga sekuat raksasa untuk ‘membersihkan’ bumi Arab dari kedurjanaan pemimpin mereka. Momentum yang diterajui massa bangsa Arab kian bertenaga menempuh badai yang melanda mencetuskan gelombang baru yang tidak pernah dijangka oleh kuasa-kuasa imperialis dan agen-agennya, diktator dan para pemerintah kuku besi di Negara-negara Arab.
Penderitaan, penindasan dan eksploistasi yang menaungi hidup mereka sekian lama menjadikan perjuangan menggoyahkan takhta rejim taghut ini sesuatu yang perlu dan berbaloi selagi mana sinar harapan masih ada walaupun kemilaunya mungkin sementara. Era kebebasan, demokrasi, keamanan dan keadilan harus ditegakkan dalam apa jua situasi agar belenggu jasad dan minda yang menghimpit akan terurai, agar rakyat bisa keluar dari lembah kehinaan.
Dewan Pemuda PAS bersama anak muda di Malaysia menyambut dan menyokong kebangkitan dan intifadha rakyat di Libya yang bermatlamat untuk menolak regim para diktator yang korup dan berjuang untuk menegakkan kerajaan berasaskan pilihan rakyat dan yang menjaga kebajikan rakyat.
Kami kagum dan menyatakan hormat kami kepada keberanian rakyat Libya, kebanyakannya diterajui oleh anak muda, yang tidak takut kepada kereta kebal, jet pejuang serta peluru tentera. Kami menyampaikan ta’ziah kami kepada keluarga yang telah kehilangan ahli yang telah mempertaruhkan nyawa mereka untuk memperjuangkan kebebasan dan keadilan. Sehingga ini sudah lebih 200 orang terbunuh.
Persekutuan Hak Asasi Manusia Antarabangsa (IFHR) melaporkan bahawa beberapa buah bandar di Libya termasuk Benghazi dan Sirte telah dikuasai para penunjuk perasaan anti-pemimpin Muammar Gaddafi selepas pasukan-pasukan tentera dikatakan berpaling tadah dengan menyertai tunjuk perasaan. Pendekatan kekerasan yang digunakan oleh pihak rejim dalam menangani kumpulan penunjuk perasaan anti-kerajaan dikecam hebat oleh pemimpin tempatan mahupun luar negara. Amerika Syarikat melalui Setiausaha Negaranya, Hillary Clinton telah menggesa pihak rejim untuk menghentikan pertumpahan darah yang berlangsung sejak awal minggu lepas.
Walau bagaimanapun, gesaan itu dibalas dengan serangan-serangan peluru berpandu serta bom oleh pesawat-pesawat pejuang dan helikopter-helikopter rejim ke atas penunjuk perasaan yang berhimpun di sekitar ibu negara Libya, Tripoli. Insiden yang berlaku terhadap penunjuk perasaan yang tidak bersenjata itu dilihat sebagai satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan oleh rejim terhadap rakyat Libya. Kelmarin anak lelaki Muammar, di samping menjanjikan reformasi yang signifikan terhadap pentadbiran, beliau telah memberi amaran kerajaannya akan mempertahankan negara itu daripada demonstrasi sehingga peluru dan anggota pasukan keselamatan terakhir, malah memberi amaran perang saudara akan tercetus.
Ekoran daripada beberapa peristiwa berdarah yang berlaku, ramai tokoh penting dalam pentadbiran rejim yang dicemari dengan nepotisme telah menyertai tindakan pembangkang. Antaranya termasuklah Menteri Keadilan, Mustapha Abdul Jalil dan Duta Libya ke Liga Arab, Abdel Moneim al-Honi yang mengumumkan beliau menyertai revolusi. Manakala duta ke India, Ali al-Essawi pula memberitahu BBC, beliau meletakkan jawatan ekoran tindakan ganas kerajaan ke atas penunjuk perasaan. Kuasa Muammar yang sudah memerintah negara itu selama 42 tahun semakin lemah dari hari ke hari. Letusan kuasa rakyat dijangka pasti lambat laun menghancurkan rejim kejam ini.
Revolusi ini mempunyai implikasi yang amat jauh bukan sahaja kepada rantau Asia Barat , malah kepada seluruh dunia. Kami percaya ini juga adalah permulaan kepada keruntuhan seluruh regim dunia Arab selepas Mesir yang bersekongkol dengan Amerika Syarikat , juga pemerintah bekas republik soviet , Afghanistan dan Pakistan.
Dengan wujudnya kerajaan yang bebas dan merdeka , eskploitasi AS selama ini terhadap sumber Negara-negara tersebut akan berakhir. Sekaligus ini akan berlarutan kepada krisis ekonomi AS yang lebih parah. Kebarangkalian rakyat di AS pula akan bangkit untuk merombak regim oligarki (pemerintahan yang hanya dipegang oleh sekumpulan orang yang berkuasa) yang hanya memperkayakan yang sedia kaya termasuk syarikat-syarikat gergasi.
Revolusi bangsa Arab yang kini rancak bermula tidak akan lengkap sehingga semua aparatus para diktator dan despot semuanya dirombak. Kejayaan revolusi di Mesir telah menjadi saksi kepada penolakan rakyat terhadap kezaliman pemerintah. Massa rakyat Arab tidak lagi mahu kuasa yang akan menjadi pelanggan kepada kuasa Barat untuk mengganti regim yang korup dan menindas ini. Mereka mahu perubahan yang murni yang akan menjaminkan kedaulatan Negara dan hidup dalam keadaan bebas , merdeka dan mendapat keadilan untuk semua.
Kuasa imperialis Barat mempunyai ramai penyokong dalam kerajaan sekarang : polis , tentera , hakim , media , NGO dan kumpulan bisnes. Mereka sekarang sedang sibuk mencatur agar kuasa politik akan beralih tangan kepada golongan yang akan mengikut telunjuk agenda neo-kolonial dan anti-Islam. Kami mengharap agar Libya tidak mengalami nasib yang sama seperti Algeria dimana tentera , dengan bantuan AS dan Perancis telah membunuh proses demokrasi apabila FIS menang dalam piliharan raya.
Kami mendesak:
§ Kerajaan Malaysia menyatakan pendirian terbuka diatas insiden pembunuhan kejam penunjuk perasaan rakyat Libya oleh regime Gadaffi
§ Persidangan Negara Islam (OIC) menghantar tentera pemantau bagi memastikan tiada lagi insiden pembunuhan kejam oleh regime Gadaffi.
§ Mendesak regim Muammar Gaddafi berundur dan kuasa secara aman perlu dilaksankan segera kepada sebuah kerajaan transisi sehingga piliharanraya yang bebas diadakan.
§ Mendesak tentera Libya supaya bersama kebangkitan rakyat
§ Mengesa kerajaan Malaysia supaya menyokong revolusi ini dan mengguna saluran diplomatik untuk memberi tekanan kepada Muammar Gaddafi untuk berunding dengan golongan pro-demokrasi agar peralihan kuasa berlaku dengan aman kepada kerajaan transisi sehingga piliharanraya yang bebas dan adil dilaksanakan.
§ Menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersama untuk solidariti kebangkitan umat Islam Libya
DR RAJA AHMAD AL-HISS
Pengerusi,
Lajnah Antarabangsa,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.
