KENYATAAN AKHBAR
29 APRIL 2011
Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop yang disiar oleh media pada 28 April 2011, yang menyatakan kegagalan pihak kami membuat penjelasan mengenai satu berita menggemparkan adalah punca permit Suara Keadilan tidak disambung.
Untuk memudahkan rujukan, secara spesifiknya berita tersebut adalah mengenai 'Felda Bankrap'. Untuk makluman, semua surat tunjuk sebab separti yang dinyatakan oleh Abu Seman telah dijawab oleh pihak kami.
Untuk penjelasan juga, isu 'Felda Bankrap' telah dibawa ke mahkamah dan dengan itu ia adalah urusan mahkamah dan tidak boleh dijadikan alasan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri untuk tidak mahu menyambung permit Suara Keadilan.
Harus dinyatakan di sini bahawa menerbitkan lidah rasmi adalah hak Parti Keadilan yang tidak boleh dinafikan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Untuk menyatakan bahawa kami tidak berkerjasama adalah tidak benar, kerana pihak kami telah beberapa kali membuat inisiatif untuk mengadakan pertemuan dengan pihak Kementerian Dalam Negeri untuk mengadakan perbincangan.
Dalam tempoh akhir tahun lepas dan awal tahun ini saja, pihak kami telah mengusahakan sekurang-kurangnya lima kali untuk membuat temu janji dengan pihak Kementerian Dalam Negeri dan Menteri Dalam Negeri untuk berbincang dengan mengenai status permit akhbar Suara Keadilan, tetapi tiada respon.
Sehubungan itu, kami mengambil peluang dari kenyataan terbuka oleh Abu Seman untuk mengadakan satu lagi pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri dalam waktu terdekat untuk membincangkan isu permit Suara Keadilan.
Saya berharap Datuk Wira Abu Seman Yusop akan mengotakan apa yang dikatakan.
Dr Syed Husin Ali
Ahli Biro Politik
Parti Keadilan Rakyat
---------------------------------
BIRO KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT
A-1-09, Merchant Square
No. 1, Jalan Tropicana Selatan 1
47410 Petaling Jaya