
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, dan isterinya memperoleh pendapatan sebanyak AS$1.7 juta ($2.1 juta) pada tahun lalu, satu kejatuhan besar berbanding 2009 ekoran penurunan jualan buku beliau.
Encik Obama dan isteri, Cik Michelle, dilaporkan memperoleh pendapatan kasar sebanyak AS$1,728,096 bagi 2010.Ini penurunan sekitar 69 peratus berbanding dengan pendapatan AS$5.5 juta yang diperoleh pada 2009.
Walaupun gaji beliau sebagai Presiden Amerika ialah sebanyak AS$395,000 setahun, kebanyakan pendapatan Encik Obama datang daripada hasil penjualan buku beliau, kata jurucakap Rumah Putih, Encik Jay Carney, dalam satu kenyataan.
Encik Obama memperoleh sebanyak AS$1.38 juta pada 2010 hasil jualan buku The Audacity of Hope, Dreams From My Father dan Of Thee I Sing: A Letter to My Daughters.
Jualan buku itu bagaimanapun mengalami penurunan daripada hampir AS$5.2 juta yang diperolehi pada 2009.
Bagi buku kanak-kanak 'Of Thee I Sing' yang diterbitkan pada tahun lalu, Encik Obama berjanji untuk mendermakan hasil jualan buku itu selepas ditolak cukai kepada dana biasiswa Fisher House untuk kanak-kanak dan tentera Amerika yang kurang upaya.
Pada 2008, pendapatan beliau berjumlah AS$2.6 juta.
Encik Obama dan sekutu beliau dalam Parti Demokrat, baru-baru ini terlibat dalam perdebatan dengan Parti Republikan, parti yang menguasai Dewan Perwakilan Amerika, mengenai peningkatan kadar cukai ke atas rakyat Amerika yang kaya.
Beliau turut mengulangi kesediaannya membayar cukai tinggi untuk menjadi contoh kepada rakyat kaya Amerika ketika pemerintah mengalami defisit belanjawan yang besar.
Pada 2010, Encik Obama dan isteri membayar lebih AS$500,000 cukai kepada pemerintah federal dan negeri.Menurut Rumah Putih, beliau turut menyumbang sebanyak AS$245,000 atau 14 peratus daripada pendapatannya kepada 36 badan amal pada 2010.
-- AFP.