Followers

Monday, May 30, 2011

Najib terdesak dapatkan sokongan belia bagi PRU


KUALA LUMPUR: Kerajaan Umno-Barisan Nasional di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan anak muda bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata, Perhimpunan Sejuta Belia 2011 yang dianjurkan baru-baru ini membuktikan hakikat itu.
Menurutnya, ketakutan Najib semakin terserlah apabila menyeru anak muda mempertahankan Putrajaya daripada pembangkang jika ingin melihat Malaysia menjadi negara maju.

“Selepas PRU pada 2008, Najib sedar sokongan anak muda mula beralih kepada Pakatan Rakyat (PR), dengan menganjurkan perhimpunan itu Najib berharap kuasa anak muda kembali bersama mereka,” katanya kepada Keadilandaily.com.
Menurutnya lagi, Najib tidak tahu membezakan antara program anjuran kerajaan dan program Barisan Nasional, apabila menyeru golongan belia mempertahankan kerajaan BN di Putrajaya.
Tambah Khairul, tidak pernah mana-mana kerajaan dalam dunia yang memperalatkan program untuk golongan belia bagi tujuan kepentingan politik kepartian seperti yang dilakukan Najib.
“Secara lumrahnya, golongan muda adalah orang yang kuat melawan, menentang serta mereka ada pendirian yang kuat. Anak-anak muda ini mahukan jaminan dan tawaran daripada pemerintah, bukan menyuruh mereka pertahankan Putrajaya, ” tegas Khairul yang lebih mesra dengan panggilan Jonah.
Menurut Khairul, Najib seharusnya sedar kepincangan dalam pentadbiran kerajaan seperti amalan rasuah dan penyelewengan yang berleluasa menyebabkan golongan muda semakin menjauhi BN.
“Sekiranya BN masih ditakuk lama, mereka tidak dapat mengalih sokongan anak muda untuk terus bersama PR dengan menganjurkan aktiviti hiburan dan sebagainya,” kata beliau.
Sementara itu, Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata tindakan Najib menganjurkan perhimpunan belia sama sekali tidak mendatangkan signifikan kepada pengundi muda.
Malahan tindakan kerajaan itu katanya, hanya sia-sia.
“Seluruh dunia menyambut Hari Belia di negara masing-masing bukan menyeru kepada rakyat untuk mempertahankan pusat pentadbiran tetapi mereka menyampaikan mesej yang kuat supaya kuasa anak muda tidak diperlekehkan.
“Anak muda yang hadir perhimpunan itu bukan mahu mendengar amanat Najib, tetapi mahu berseronok sempena konsert Jom Heboh yang turut serta diadakan. Penganjuran perhimpunan itu hanya menumpang konsert yang dianjurkan TV3,” ujarnya.