KERAJAAN RAKYAT - JAKARTA: Wajah ceria dan senyuman manis menjadi senjata terbaru polis di Indonesia dalam memberi perkhidmatan dan melindungi masyarakat.
Penduduk mungkin terkejut dengan pendekatan baru polis itu dan mereka pasti akan lebih berlembut dengan anggota badan penguatkuasa berkenaan kali ini.
Pihak polis kini lebih cenderung mengerah sekumpulan anggota berwajah menarik menangani tugas sukar.Superintenden Kristanto Yoga, Superintenden Desmont Harjendro, Inspektor Eny Kuswidiyanti, Koperal Avvy Olivia, Koperal Astri Widya dan Koperal Pertama Eka Frestya adalah antara yang terpilih sebagai wajah baru pasukan polis.Sebahagian daripada tugas mereka adalah memberikan laporan lalu lintas secara langsung di televisyen.
Orang ramai boleh melihat wajah mereka setiap hari sambil mereka memberikan maklumat lalu lintas.
Wajah menarik mereka di skrin membuatkan ramai penduduk lupa mengenai reputasi polis yang dikaitkan sebagai antara institusi paling teruk terjejas dengan rasuah.
Malah, pegawai terbabit sudah menjadi selebriti polis dan menjadi pilihan terbaru di kalangan peminat, menerima komen positif dan maklum balas.
Salah seorang penduduk Jakarta, Encik Muhammad Ramdhan Dwiputra, 27 tahun, kini menyimpan wajah Koperal Pertama Eka dalam telefon bimbitnya.
'Pada mulanya, saya tidak begitu mengambil perhatian tetapi apabila saya nampak beliau di televisyen, saya mula menyukainya,' kata Encik Muhammad Ramdhan.
Akhbar The Jakarta Post berpeluang menemu bual pegawai polis istimewa berkenaan di ibu pejabat mereka di Jakarta Selatan.
Selain daripada pakaian seragam yang dipakai, pegawai polis terbabit kelihatan berbeza daripada yang lain.Seorang pegawai khas bertindak sebagai pengurus mereka yang bertanggungjawab mengatur semua temubual dan mewakili mereka apabila berhubung dengan media.
Malah, pihak media terpaksa menunggu setengah jam sementara mereka mengenakan solekan dan bersedia untuk ditemu bual, sama seperti temu bual selebriti lain. -- Agensi.