
NICOL bersama Gregory Gaultier menunjukkan trofi yang mereka menangi pada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB 2011 semalam.
RATU skuasy negara dan pemain No. 1 dunia, Datuk Nicol Ann David menepati ramalan apabila merangkul kejuaraan pada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia CIMB 2011 di pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara semalam. Ia merupakan kejuaraan kali ketujuh yang dimenanginya sejak 2005. Nicol mengalahkan pemain England, Jenny Duncalf dalam permainan straight set 11-6, 12-10, 11-5 dalam masa 42 minit. Dengan kejayaan itu, dia menggondol hadiah wang tunai AS$11,400 (kira-kira RM33,926) dan trofi, manakala Duncalf menerima AS$7,800 (kira-kira RM23,212).
"Tidak diragui dia (Jenny) selalu bermain baik dan pada masa yang sama saya terpaksa bermain lebih baik. Saya dapat menumpukan fokus saya hari ini (semalam) dan sangat gembira dengan persembahan saya," kata Nicol yang akan mencapai usia 28 tahun bulan depan. Selepas ini Nicol akan menyertai pula kejohanan Masters Singapura (25 hingga 30 Julai) dan Terbuka Australia pada 9 hingga 14 Ogos."Saya sedang menanti kejoha- nan Masters Singapura. Namun kini saya mahu meraikan keja- yaan ini sebelum menumpukan kejohanan seterusnya. Ia merupakan kejuaraan Siri Dunia kedua saya," katanya.
Nicol sebelum ini memenangi Siri Dunia Wispa di Terbuka Kepulauan Cayman pada 9 April juga mengalahkan Duncalf 3-1. Terdahulu dalam acara akhir lelaki, pemain Perancis, Gregory Gaultier muncul juara buat kali pertama selepas menewaskan pemain Pakistan, Aamir Atlas Khan set 11-8, 11-3, 11-3 dalam masa 43 minit. Dengan kemenangan itu, Gregory meraih hadiah wang tunai AS$8,075 (RM24,031.20), manakala Aamir menerima AS$5,525 (RM16,442.40).