Friday, August 12, 2011

Bonus Aidilfitri untuk kakitangan awam negeri dan guru KAFA


GEORGETOWN – Semua kakitangan awam kerajaan negeri Pulau Pinang, termasuk anggota pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi negeri, dan guru-guru KAFA akan menerima bonus khas Hari Raya Aidilfitri pada 19 Ogos ini.

Seramai 7,800 kakitangan awam negeri akan menerima bonus setengah bulan gaji atau minimum RM600 setiap seorang manakala guru-guru KAFA menerima RM300 setiap seorang.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata pemberian bonus itu diharap dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga kakitangan awam negeri, khususnya kepada 899 pekerja yang berpendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan.


Katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM3.3 juta untuk pemberian bonus Aidilfitri itu, iaitu RM2.9 juta untuk kakitangan awam dan RM425,000 untuk guru-guru KAFA.

“Pemberian ini sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangan anggota perkhidmatan awam, penyelia dan guru KAFA di pentadbiran kerajaan negeri.

“Bonus ini juga dapat membantu pegawai perkhidmatan awam dalam membuat persediaan untuk sambutan Hari Raya,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini semalam.

Baru-baru ini, Kerajaan Pusat telah mengumumkan pemberian bonus Hari Raya sebanyak RM500 untuk semua kakitangan Persekutuan.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata kerajaan negeri Pakatan Rakyat mampu memberi bonus setengah bulan gaji itu dengan kadar yang lebih tinggi daripada Kerajaan Persekutuan kerana ia adalah hasil dividen amalan pentadbiran cekap, akauntabel dan telus (CAT) yang dapat menguruskan perbelanjaan negeri dengan baik.

Katanya kerajaan negeri Pakatan juga akan terus membantu golongan yang memerlukan bagi memastikan tidak ada sesiapa dipinggirkan di negeri ini. – Roketkini