Followers

Tuesday, August 23, 2011

Jangan perjudikan masa depan anak bangsa dengan retorik

Dari Sulaiman Mahran, melalui e-mel
Kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan bahawa kementeriannya tegas untuk menamatkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), tiga hari selepas Timbalan Perdana Menteri/Menteri Pendidikan menyatakan bahawa kementeriannya masih mengkaji kemungkinan membenarkan opsyen PPSMI, mengesahkan kenyataan saya dua hari yang lepas bahawa kata-kata Timbalan Perdana Menteri/Menteri Pendidikan itu hanyalah wayang kulit politik untuk membeli masa hingga perlaksanaan MBMMBI pada 2012.
Kami tidak kisah jika pihak Menteri menganggap kami ibu bapa bodoh dan mudah ditipu tetapi kami mohon di hari baik dan bulan baik Ramadan ini, janganlah memperjudikan masa depan anak-anak bangsa kita dengan retorik perjuangan bahasa.
Sudah berabad-abad orang Melayu memeluk agama Islam, namun hingga kini kebanyakan orang Melayu tidak dapat menghayati Islam sepenuhnya sebab kita belajar agama dan al-Quran dalam Bahasa Melayu sedangkan lingua franca ajaran agama Islam adalah Bahasa Arab. Kebanyakan kita berpaut sepenuhnya pada ustaz-ustaz dan tidak kepada Al-Quran dan hadith sebab tidak faham Bahasa Al-Quran.

Begitu juga dengan ilmu sains dan matematik. lingua francanya adalah Bahasa Inggeris. Tidak mungkin kita menjadi ilmuan tinggi dalam bidang ini dalam Bahasa Melayu. Setakat  jadi juara kampong bolehlah.  


Walaupun kita sedar bahawa Perdana Menteri kita ikhlas untuk mendengar suara rakyat dan telah menyatakan, “The days of the Government knows best are over”, namun “the Little Napoleons” di bawahnya mempunyai visi dan mentaliti yang berlainan dengan pucuk kepimpinan.
Walaupun suara rakyat terang-terang mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka namun Dr Puad Zarkashi masih mahu menegakkan yang “the Government knows better”. Namun alasan kegagalan penguasaan Bahasa Inggeris yang diberinya sangat cetek dan tidak berasas.
Seorang menteri kabinet yang kami temui telah menyatakan bahawa kabinet tidak diberi fakta yang betul semasa diminta membuat keputusan untuk menamatkan PPSMI.
Dengan itu kami merayu kepada YAB Perdana Menteri yang kita hormati untuk campurtangan terus dalam isu yang berlarutan ini. Berilah peluang untuk kami  pro-PPSMI dan pihak anti-PPSMI membentangkan kepada jemaah menteri kabinet pandangan kedua-dua belah pihak dan biarkanlah jemaah menteri memutuskan isu ini (opsyen PPSMI) berdasarkan fakta yang betul dan tidak berat sebelah.
Penulis adalah Timbalan Pengerusi PAGE