Followers

Sunday, August 28, 2011

The Malaysian Insider disaman



KUALA LUMPUR 26 Ogos – Bekas Pengerusi Eksekutif Malaysian Airline System Bhd. (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli mengemukakan saman RM200 juta terhadap penerbit portal berita, The Malaysian Insider dan dua lagi kerana didakwa menyiarkan artikel yang berunsur fitnah terhadap beliau pada 31 Mei lalu.

Tajudin mendakwa kata-kata dalam artikel bertajuk MACC clears A-G of graft allegations (SPRM bebaskan Peguam Negara daripada tuduhan rasuah) yang mengaitkannya bukan merupakan pernyataan-pernyataan yang adil dan berniat jahat.

Writ saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Lim Kian Leong & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 18 Ogos lalu.


Tajudin selaku plaintif menamakan penerbit portal tersebut, The Malaysian Insider Sdn. Bhd.; Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jahabar Sadiq dan wartawan, Shazwan Mustafa Kamal sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Beliau yang berkhidmat di MAS antara 1994 sehingga 2001 menuntut ganti rugi kecederaan dan kehilangan reputasi tidak kurang daripada RM200 juta, ganti rugi keterlaluan dan teladan, faedah atas ganti rugi tersebut, kos serta relif-relif lain.

Tarikh 19 September ini ditetapkan untuk pengurusan kes buat pertama kali di hadapan Hakim Harmindar Singh Dhaliwal.



Dalam pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa, artikel berkenaan bermaksud atau difahamkan bermaksud beliau seorang yang tidak jujur, berkelakuan tidak wajar, menyalahgunakan kedudukan, bertindak secara tidak profesional, tidak boleh diharap dan tidak boleh dipercayai.

Plaintif memberitahu, beliau melalui peguam caranya telah menulis surat kepada pihak defendan pada 7 Jun lalu untuk menuntut artikel dan pengedarannya ditarik balik serta permohonan maaf.

Bagaimanapun, dakwanya, pihak defendan dalam surat jawapannya bertarikh 20 Jun lalu menyatakan, artikel terbabit bukan bersifat fitnah dan mereka mempunyai pelbagai sumber berita serta enggan menarik balik pengedarannya.

Di sebalik keengganan tersebut, Tajudin menyatakan, pihak defendan telah mengulangi kata-kata fitnah atau yang serupa dengannya dalam artikel bertajuk Najib: Tajudin intervention ‘offsite solutin’ not settlement pada 12 Ogos lalu dan tiga lagi artikel pada keesokan harinya.

Disebabkan pengulangan kata-kata fitnah tersebut, dakwa plaintif, pihak defendan telah menunjukkan mereka sebagai berniat jahat dan menyusahkan serta patut dipertanggungjawabkan untuk ganti rugi.

Plaintif turut mendakwa, ekoran penerbitan artikel yang telah disampaikan secara meluas melalui Internet, beliau telah mengalami kerosakan yang teruk dalam perwatakan dan reputasi selain dibawa kepada keaiban awam, skandal dan penghinaan serta menjejaskannya.

Pada 11 Ogos lalu, media tempatan melaporkan bahawa kes-kes saman sivil membabitkan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) dan Kerajaan Malaysia terhadap Tajudin Ramli sejak bertahun-tahun lalu, kini dalam peringkat rundingan untuk mencari penyelesaian di luar mahkamah.

Sekiranya tiada persetujuan dicapai, kes-kes saman yang membabitkan tuntutan berbilion ringgit itu akan diteruskan dengan perbicaraan.

Secara keseluruhan terdapat lebih daripada 10 kes saman di pelbagai peringkat mahkamah termasuk Mahkamah Rayuan membabitkan GLC seperti MAS, Telekom Malaysia Bhd., Naluri Corporation Bhd., Celcom (M) Bhd., Pengurusan Danaharta Bhd. dan Atlan Holdings Bhd.

Pengurusan kes bagi tuntutan-tuntutan tersebut ditetapkan pada 29 September ini di hadapan Hakim Pengurusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Dagang) Kuala Lumpur, Tan Sri Md. Raus Sharif, yang juga merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Tajudin turut mengemukakan saman balas ke atas 24 defendan termasuk GLC terbabit bagi menuntut ganti rugi RM13.46 bilion.