NOTA: Singapura adalah negara Cina yang dilahirkan oleh pemimpin Umno. KESEMUA empat calon Presiden Singapura berbangsa Cina. Sejarah jelas membuktikan betapa pemimpin-pemimpin Melayu Umno telah mengadai, menjual dan melupuskan hak, khazanah dan kedaulatan Bangsa Melayu

KESEMUA empat calon Presiden Singapura malam tadi berucap buat kali pertamanya kepada rakyat menerusi siaran televisyen dan radio, masing-masing menjelaskan mengapa mereka mahu bertanding dan bagaimana mereka mahu melaksanakan tugas Presiden jika dipilih.
Semalam adalah hari kedua kempen Pilihan Raya Presiden, setelah pencalonan Dr Tan Cheng Bock, Encik Tan Jee Say, Dr Tony Tan dan Encik Tan Kin Lian dirasmikan.
Mereka masing-masing menggiatkan kempen mereka semalam dengan mengadakan lawatan menemui rakyat di stesen-stesen MRT dan juga menghadiri majlis iftar, dalam usaha mendapat keyakinan pengundi pada 27 Ogos ini.Menerusi ucapannya, Dr Tan Cheng Bock membuat usulan untuk menguatkan lagi komitmen beliau menjadikan pejabat Presiden sebagai bebas daripada pengaruh pemerintah.
Justeru, beliau ingin menyarankan agar operasi pemerintahan dipindahkan dari Istana ke lokasi lain.
'Perpisahan ini adalah baik dan sihat bagi keyakinan orang ramai. Ini boleh menguatkan lagi keyakinan rakyat tentang kebebasan antara kuasa Presiden dengan Pemerintah.
'Jabatan Presiden dan Pemerintah tidak seharusnya dilihat di bangunan yang sama. Di bawah Perlembagaan, kuasa mereka adalah berlainan. Maka itu kita harus pisahkan mereka,' kata Dr Tan Cheng Bock, 71 tahun.
Encik Tan Jee Say pula menonjolkan dirinya sebagai seorang calon yang benar-benar bebas daripada pengaruh Parti Tindakan Rakyat (PAP).
'Oleh itu, saya dapat menjadi pengekang dan pengimbang bagi Pemerintah tanpa hambatan.
'Saya boleh, dan saya akan mengingatkan mereka, tanpa segan-segan, jika mereka lalai. Saya akan menjadi suara hati mereka, dan suara hati anda,' kata Encik Tan Jee Say, 57 tahun.
Jika terpilih kelak, beliau berjanji antara lain, akan mendorong Pemerintah supaya usah mengutamakan pertumbuhan tinggi Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) hingga mengabaikan kepentingan rakyat.
'Kita perlukan Presiden yang dapat membantu menyembuhkan keretakan masyarakat dan menyatukan semula negara.'Jika dipilih sebagai Presiden, saya akan mencelah dengan niat baik dan suci hati. Saya akan bekerjasama dengan Pemerintah demi mencipta masyarakat yang lebih baik untuk semua,' katanya.
Encik Tan Kin Lian turut menekankan komitmennya menjadi wakil kepada suara rakyat yang bebas daripada pemerintahan PAP.
Beliau ingin menubuhkan sebuah Majlis Peribadi Presiden yang diwakili golongan karyawan daripada pelbagai segmen masyarakat membantunya dalam hubungan dengan masyarakat.
'Mereka akan membantu saya mengenal pasti isu-isu yang mempunyai kesan kepada sejumlah rakyat Singapura. Saya akan mengambil pendekatan membina dan berkerjasama dengan Permerintah untuk mengenal pasti punca sebenar isu-isu ini dan membantu mencari penyelesaian yang sesuai,' kata Encik Tan Kin Lian, 63 tahun.
Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dr Tony Tan, pula mengingatkan rakyat tentang sifat-sifat yang diperlukan sebagai Presiden Dipilih yang dimilikinya melalui pengalaman bertahun-tahun lamanya.
Menurutnya, Singapura perlukan seorang presiden yang berkebolehan dan tegas, berpandangan luas dan melihat secara jangka panjang serta pengetahuan yang mendalam mengenai sistem kewangan yang kompleks.
'Hari ini, saya menawarkan diri saya kepada anda sebagai seorang warga Singapura yang benar-benar mahukan kehidupan yang lebih baik bagi setiap warga kita.
'Saya tidak tahu sama ada saya akan menang. Tetapi, yang penting, saya tahu saya mesti mencuba. Kerana Singapura ialah tanah air kita. Saya telah berkhidmat selama tiga dekad untuk Singapura. Di sinilah hati nurani saya,' kata Dr Tony Tan, 71 tahun.