Followers

Tuesday, August 30, 2011

Selepas 50 tahun mengaut keuntungan, Singapura serah empat loji dan rumah pam kepada Johor


JOHOR BAHRU: Selepas 50 tahun, empat kemudahan loji air dan rumah pam di Johor yang selama ini ditadbir dan diuruskan agensi air Singapura, PUB, akan diserah secara rasmi kepada kerajaan Johor bermula lusa.

Loji itu adalah Loji Air Skudai, Loji Air Gunung Pulai, Rumah Pam Tebrau dan Rumah Pam Pontian di Sungai Pontian Kecil, dekat Pontian.

Penyerahan bersejarah itu dibuat kerana kontrak bekalan air selama 50 tahun antara PUB dengan kerajaan Johor, yang termaktub dalam Perjanjian Air 1961 membabitkan empat kemudahan tersebut, berakhir esok.

Akhbar Berita Harian Malaysia (BHM) semalam melaporkan majlis penyerahan itu akan dihadiri Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar; Menteri Sekitaran dan Sumber Air Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman.


Sejurus majlis penyerahan di loji Air Gunung Pulai, Syarikat Air Johor Holdings (SAJ) akan mengambil alih operasi semua kemudahan itu daripada PUB mulai lusa.

Menurut Perjanjian Air 1961 itu, Singapura akan menyerah semua kemudahan tersebut kepada pihak pengurusan air Johor secara percuma dan dalam keadaan yang baik.



Sejak Mei tahun lalu juga, sebuah Jawatankuasa Teknikal Bersama dan Kumpulan Kerjasama melibatkan pegawai PUB dan kerajaan negeri Johor sudah bekerjasama bagi penyerahan loji air serta kemudahan di situ.

Menerusi kerjasama itu, PUB akan memberi latihan kepada kakitangan SAJ, yang akan mengambil alih operasi loji tersebut serta kemudahan lain di situ.

Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 24 Mei tahun lalu mengumumkan Singapura akan menyerah semua kemudahan air secara percuma dan tidak berhasrat menyambung perjanjian itu.

Loji Air Skudai beroperasi sejak 1964 di tanah seluas 34.9 hektar dan mampu menghasilkan 189.2 juta liter (50 juta gelen) air bersih sehari.

Loji Air Gunung Pulai pula siap dibina pada 1924 di tapak seluas 24 hektar dan mampu mengeluarkan antara 45 hingga 73 juta liter air bersih sehari bagi kawasan sekitar Jalan Straits View, Pontian dan Hospital Sultanah Aminah.