Followers

Thursday, September 29, 2011

Agong kata Fungsi raja Melayu penting. Betulke??



Kerajaan Rakyat ~ KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Tuanku Mizan Zainal Abidin, mengingatkan bahawa raja-raja Melayu mempunyai peranan dan fungsi amat penting dalam sistem pemerintahan Malaysia dan ia menjadi teras utama konsep Raja Berperlembagaan yang diguna pakai sejak negara itu mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu.


Sultan Mizan berkata raja-raja Melayu juga, khususnya, berperanan memelihara kedudukan orang Melayu, penduduk peribumi serta agama Islam yang disifatkan sebagai dapat menyelesaikan masalah rakyat pelbagai kaum.

Beliau menekankan Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan pula menetapkan Islam ialah Agama Persekutuan, manakala agama-agama lain pula bebas diamalkan dalam keadaan harmoni dan damai, lapor akhbar Utusan Malaysia semalam.


'Kepelbagaian kaum dan etnik yang merupakan ciri atau pola utama demografi di negara kita pula telah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara unik, dan menariknya kepelbagaian ini disulami dengan kontrak sosial yang mendasari Perlembagaan Persekutuan.

'Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada setiap rakyat untuk memelihara dan mengekalkan keharmonian hidup bersatu padu dalam masyarakat yang berbilang kaum ini,' kata Sultan Mizan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Majlis Agama Islam Negeri-Negeri Seluruh Malaysia pertama di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, kelmarin.

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mua'adzam Shah; Sultan Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail; Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob; dan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, turut hadir di kongres itu.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, juga hadir.

Sementara itu, semasa menyampaikan ucapannya bertajuk Majlis Agama Islam Pemacu Transformasi Ummah dalam kongres itu, Raja Dr Nazrin berkata Islam semakin dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa sehingga ke peringkat sedia berkompromi prinsip-prinsip yang menyentuh akidah.

'Nama suci Allah yang termaktub di dalam Al-Quran diambil dan dijadikan terjemahan kepada perkataan 'God'. Allah yang merupakan kalimah yang amat suci di kalangan umat Islam kini turut dinamakan kepada simbol pujaan agama lain.

'Kalimah suci 'Allah' bukan sekadar nama am yang bermaksud 'Tuhan' walau apa bentuknya.

'Kesucian kalimah Allah amat tinggi di sisi Islam. Kalimah tersebut apabila dicetak pada kertas, tidak boleh dipijak, tidak boleh dijadikan bahan bungkusan, tidak boleh dibawa ke dalam tandas.

'Allah' adalah nama khas - Tuhan Maha Suci, Tuhan Maha Agong. Allah ialah satu-satunya,' kata pemangku raja Perak itu.

Beliau menambah amat berbahaya sekiranya prinsip asas agama direda dijadikan bahan tolak ansur politik di Malaysia.

Sila Baca:
Anugerah Dari Perompak Kepada Lanun
Ini bukan Sultan Beb, dia tu SYAITAN.