Kerajaan Rakyat : Mungkinkah kes rogol pembantu rumah warga Indonesia yang pernah dikaitkan dengan Rais Yatim menjadi punca utama pihak berkuasa Indonesia masih meneruskan pembekuan ini?
PUTRAJAYA: Malaysia mempersoal tindakan pemerintah Indonesia yang terus membekukan penghantaran pembantu rumah warganya ke Malaysia, walaupun kedua-dua negara sudah menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) mengenainya di Bandung pada Mei lalu.
Baca seterusnya di sini
Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam, yang menandatangani MOU itu dengan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Encik Muhaimin Iskandar, dipetik oleh laporan akhbar Berita Harian Malaysia (BHM) semalam sebagai berkata bahawa sehingga sekarang Indonesia juga masih belum menyatakan sebab pembekuan itu belum lagi ditarik balik.'Saya sendiri masih tertanya-tanya sebab sebenar Indonesia enggan menarik balik arahan pembekuan penghantaran pembantu rumah mereka ke Malaysia. Padahal Malaysia sudah mematuhi segala syarat dan tuntutan yang dipersetujui bersama dalam MOU itu.
'Anda kena tanya pemerintah Indonesia kenapa mereka masih tidak menunaikan perjanjian seperti dipersetujui, walaupun kami sudah memenuhi semua tuntutan mereka,' katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri kementeriannya di sini, kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengapa pemerintah Indonesia belum menarik balik pembekuan penghantaran pembantu rumahnya ke Malaysia walaupun MOU berkaitannya sudah ditandatangani empat bulan lalu.
Dr Subramaniam berkata pihaknya akan menyerahkan kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, untuk membangkitkan semula isu itu dalam pertemuan perdana menteri itu dengan Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, dalam satu dialog tahunan antara kedua-dua pemimpin itu.
Indonesia membekukan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia pada 25 Jun 2009 selepas terdapat kejadian mendera pembantu rumah warga negara itu oleh beberapa majikan di Malaysia.
Pada 18 Mei tahun lalu, Datuk Seri Najib, selepas mengadakan perbincangan empat mata dengan Dr Yudhoyono, mengumumkan bahawa kedua-dua negara menandatangani sepucuk Surat Hasrat berkaitan bidang tenaga kerja yang membawa kepada MOU pada Mei lalu itu.
Antara syarat yang dipersetujui dalam MOU itu ialah majikan Malaysia dijanjikan pembantu rumah gantian atau ganti rugi deposit daripada agensi pekerjaan yang terbabit sekiranya pembantu rumah melarikan diri, tidak cekap atau gagal ujian perubatan dalam tempoh enam bulan.
