Followers

Tuesday, September 20, 2011

Negara penderma akui Palestin sudah sedia bentuk negara



KerajaanRakyat l NEW YORK: Negara-negara penderma kelmarin sekali lagi mengakui bahawa penguasa Palestin sudah bersedia membentuk negaranya berdasarkan pada laporan-laporan daripada institusi-institusi kewangan utama dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sokongan yang diterima perolehi daripada Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), PBB dan pihak penderma sedang para pemimpin dunia yang mula tiba bagi mesyuarat-mesyuarat peringkat tinggi di Perhimpunan Agung PBB seharusnya memberi rangsangan kepada usaha rakyat Palestin mendapatkan keanggotaannya dalam PBB sebagai sebuah negara bebas.

Menteri Luar Norway, Encik Jonas Gahr Stoere, yang mempengerusikan kumpulan sokongan penderma, Jawatankuasa Perhubungan Ad Hoc, dalam satu mesyuarat berkata usaha 'membina satu institusi kukuh negara dan menghidupkan semula ekonomi Palestin menonjol sebagai satu kisah kejayaan antarabangsa'.


Pada April lalu, satu jawatankuasa penyumbang kewangan utama kepada Palestin mengalualukan penilaian Bank Dunia, IMF dan PBB bahawa Penguasa Palestin sudah bersedia mengendalikan institusi-institusi negaranya.

'Hari ini, kami mengulangi lagi pengakuan itu berdasarkan kenyataan Bank Dunia, IMF dan PBB bahawa kemajuan tersebut masih utuh,' kata Encik Stoere kepada wartawan semasa menyimpulkan mesyuarat selama tiga jam lewat malam kelmarin.

'Adalah penting sekarang mempertahankan pencapaian-pencapaian itu dan kemajuan yang dibuat sejauh ini.'Encik Stoere berkata jawatankuasanya menumpukan perhatian ke arah mengekalkan 'pengukuhan fiskal dan daya maju ekonomi' penguasa Palestin.

Dalam laporan-laporan yang disediakan bagi mesyuarat tersebut, IMF dan Bank Dunia telah memberi amaran tentang risiko yang semakin meningkat terhadap ekonomi Palestin yang boleh melemahkan pertumbuhannya dan pencapaiannya baru-baru ini dalam membina institusi-institusi sebuah negara.

IMF mengulangi lagi penilaiannya pada April lalu bahawa Penguasa Palestin 'kini lebih berupaya menjalankan dasar-dasar ekonomi kukuh yang dijangkakan bagi sebuah negara Palestin yang berfungi dengan baik pada masa depan, memandangkan rekod pencapaiannya yang padat dengan pembaharuan dan pembinaan institusi pembiayaan awam dan kewangan'.

Namun, IMF berkata pertumbuhan ekonomi di Tebing Barat merosot daripada 8 peratus pada tahun lalu kepada 4 peratus dalam enam bulan pertama tahun ini.

Minggu lalu, Setiausaha Agung PBB, Encik Ban Ki-moon, berkata pembentukan negara Palestin yang merdeka memang 'sudah lama dinantikan'.

Beliau membuat kenyataan itu selang sehari selepas pucuk pimpinan Palestin melancarkan kempen menyokong usahanya menjadi negara anggota dunia yang ke-194. -- AP, AFP.

Baca: Blogger Pakatan lebih sudu dari kuah