
MUNGKIN memang fitrah manusia suka membandingkan diri mereka dengan orang lain.
Sebagai sebuah masyarakat misalnya, kita sering membandingkan diri kita dengan kaum-kaum lain.
Kita sering berasa kekurangan, sebab sampai sekarang kita melihat diri kita masih ketinggalan di belakang kaum-kaum lain di sini.
Sedang kita maju selangkah, kita lihat kaum-kaum lain juga maju selangkah - bahkan sering kali mereka berada beberapa langkah di hadapan kita.
Sedang kita miliki flat empat atau lima bilik, mereka pula tinggal di kondo, bahkan banglo.BILA NAK 'GAME'?
Kita baru bawa kereta Toyota, mereka dah bawa Mercedez besar.
Kita makan gaji, mereka pula jadi tauke. Bila nak game?
Akibatnya, timbul rasa kurang puas hati... bahkan kadangkala kita berasa rendah diri melihat betapa kerdilnya masyarakat kita di bumi sendiri.
Apakah kita akan terus-menerus berasa kecewa melihat jurang antara kita dengan kaum-kaum lain tetap melebar?
Sebaliknya, bagaimana kalau suatu hari nanti kita dapat menandingi kaum-kaum lain; apakah kita akan merasa diri kita sudah cukup maju dan sempurna?
Apakah kita akan berpuas hati melihat masyarakat kita mempunyai ramai tokoh korporat, syarikat Melayu kita memiliki gedung-gedung pencakar langit, anak Melayu ramai di universiti setanding kaum-kaum lain?
Apakah ini akan memuaskan hati kita? Apakah ini yang kita namakan kemajuan?
Bagaimana kalau kita sudah maju dari segi ekonomi, tetapi ramai orang kita mengalami tekanan jiwa, menjadi gila dan membunuh diri?
Apakah kita masih menganggap masyarakat kita sudah maju?
Saya bukan hendak bersikap sinis dengan melemparkan pelbagai soalan yang menyakitkan hati anda.
PERLU ADA MATLAMAT JELAS Sebenarnya, saya timbulkan perkara ini kerana saya fikir kita perlu ada satu matlamat yang jelas yang ingin kita capai sebagai sebuah masyarakat, tanpa terlalu membandingkan diri dengan orang lain.
Membanding-bandingkan diri dan pencapaian kita dengan orang lain, pada saya, tidak akan membawa kita ke mana.
Ia hanya akan membuat kita terus menerus tidak berpuas hati dengan apa yang kita miliki dan berasa rendah diri.
Atau ia boleh membuat kita berasa sombong dan tinggi diri kerana merasa kita sudah lebih maju daripada orang lain.Kedua-duanya tidak membawa manfaat kepada kita sebagai sebuah masyarakat.
Jadi, apakah matlamat yang ingin kita capai untuk menjadi sebuah masyarakat yang sempurna?
Siapakah yang harus menggariskan matlamat atau wawasan masyarakat Melayu gemilang itu?
Para pemimpin politik dan masyarakat? Para ahli akademik atau golongan bijak pandai?
Saya pernah baca satu rencana tulisan seorang ahli akademik kita, Profesor Madya Hadijah Rahmat, yang berjudul Membina Minda dan Budaya Melayu Baru melalui Perekayasaan Pendidikan Bangsa, dalam jurnal elektronik terbitan Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Melayu Institut Pendidikan Nasional (NIE) pada 2008 .
Rencana itu menarik minat saya kerana ia turut melakarkan ciri masyarakat Melayu sempurna menurut pandangan beliau.
Antara lain, Profesor Hadijah menulis bahawa kita tidak sekadar mahukan generasi Melayu yang berbudi bahasa atau bersopan santun.
Bahkan, kita perlu menghasilkan generasi Melayu baru yang berilmu, mempunyai nilai progresif, beradab dan berperadaban tinggi.
Generasi baru Melayu, kata beliau, juga harus berbakti bukan sahaja kepada bangsa dan negara, bahkan kepada dunia antarabangsa.
Beliau menulis, matlamat atau misi pendidikan kita ialah untuk membina dan menghasilkan golongan pemikir atau anggota masyarakat yang mempunyai minda berdisiplin, menggabung jalin, mencipta, menghormati dan beretika yang bukan sahaja dapat berfungsi dan dinobat dalam dunia Melayu/Islam sahaja, bahkan diiktiraf sebagai warga dunia yang berjaya, berbakti dan dihormati.
'Dari manusia Melayu budiman yang hanya puas dan selesa dalam halaman kampung atau rumpun Melayu yang kecil, kita perlu melahirkan insan arif budiman yang mampu melejang, bersaingan dalam gelanggang atau medan dunia antarabangsa yang sengit,' tulis beliau.
TIDAK SEMPITKAN PEMIKIRAN
Saya tertarik dengan apa yang beliau tulis itu kerana ia tidak menyempitkan pemikiran kita untuk menjadikan pencapaian ekonomi semata-mata sebagai ukur tara kemajuan.
Boleh tak kita jadikan ini sebagai titik tolak kepada usaha menetapkan matlamat yang jelas lagi praktikal untuk mewujudkan sebuah masyarakat Melayu yang dapat kita banggakan?
Profesor Hadijah mengakui, kita masih jauh daripada mencapai cita sempurna masyarakat Melayu yang beliau gariskan itu.
Bahkan, menurutnya, perjuangan memajukan ummah sebenarnya belum bermula.
Kalau begitu, apa kata kita mengerah tenaga untuk memulakannya?
Berdasarkan pemahaman saya, rencana tulisan Profesor Hadijah itu ditujukan untuk para guru atau pendidik.
Maka, adalah menjadi tanggungjawab pendidik kita untuk mendidik anak-anak bangsa agar dapat membentuk masyarakat Melayu gemilang idaman kita.
Namun, bagaimana dengan golongan lain dalam masyarakat kita seperti ibu bapa, pemimpin masyarakat dan individu Melayu?
Sudah tentu kita semua mempunyai tanggungjawab melahirkan Melayu cemerlang.
Jika kita ada matlamat yang jelas untuk dicapai, saya fikir, masyarakat Melayu kita tidaklah perlu lagi terumbang- ambing mencari sasaran yang ingin kita kita capai bersama.
Kita juga tidak perlu lagi asyik membandingkan diri kita dengan orang lain...
Sumber: Dari sini