Followers

Pages

Sunday, January 22, 2012

Kematian kedua akibat flu burung


JAKARTA: Indonesia semalam melaporkan kematian kedua akibat flu burung tahun ini setelah kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

Sebelum ini, seorang saudara kanak-kanak itu juga menjadi mangsa kepada virus H5NI, yang boleh membawa maut itu.

Kebimbangan terhadap flu burung kembali meningkat di rantau ini setelah China melaporkan kematian pertamanya dalam masa 18 bulan akibat virus H5N1, lewat bulan lalu.

Kelmarin, Vietnam dan Kemboja, juga melaporkan kematian pertama akibat virus H5N1, di negara masing-masing.

Mangsa terbaru di Indonesia itu tinggal serumah dengan mangsa pertama, iaitu saudaranya yang berusia 24 tahun, yang meninggal dunia akibat flu burung pada 7 Januari.
~ Kerajaan Rakyat (Facebook) 


Namun, pihak berkuasa menegaskan bahawa tiada bukti bahawa virus itu merebak melalui jangkitan daripada manusia kepada manusia.

Menurut ketua jabatan penyakit berjangkit, Kementerian Kesihatan Indonesia, Encik Tjandra Yoga Aditama, pihaknya telah lakukan beberapa ujian dan hasilnya menunjukkan bahawa kanak-kanak itu dijangkiti virus H5N1 yang sama seperti yang dikesan sebelum ini.

Tambahnya, budak perempuan itu terdedah kepada ayam itik yang dipelihara di kawasan tempat tinggalnya.

Namun, Encik Tjandra tidak dapat mengesahkan jika beliau menjangkiti virus itu daripada burung merpati atau ayam - kedua-duanya boleh ditemui di kejiranannya di Tanjung Priok, utara Jakarta.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Indonesia merupakan negara paling teruk terjejas oleh flu burung, dengan 150 kematian dilaporkan antara tahun 2003 hingga 2011.

'Dengan kes ini, jumlah terkumpul kes flu burung mencapai 184 kes dengan 152 kes daripada jumlah itu berakhir dengan kematian,' menurut Kementerian Kesihatan Indonesia di laman Internetnya.

Virus itu selalunya berjangkit daripada burung kepada manusia melalui hubungan langsung, namun pakar-pakar khuatir ia boleh menjalani mutasi dan boleh berjangkit daripada manusia kepada manusia.

Jika ia berlaku, ia mungkin menjadi pandemik dan berpotensi membunuh berjuta-juta manusia. -- AFP.

Anwar Ibrahim Untuk Malaysia