MUKADDIMAH
1.
Alhamdulillah, pagi ini Pakatan Rakyat berkonvensyen buatkali ketiga disaat suara rakyat menuntut
reformasi dan perubahan menyeluruh semakin nyaring. Konvensyen ini
menghimpunkan anggota dan pimpinan Pakatan Rakyat yang komited dan mewakili
aspirasi rakyat yang mahu melihat muafakat ini terus dipertahankan dan
diperkukuhkan atas prinsip dan Dasar Bersama yang telah disepakati dalam
kerangka besar agenda perjuangan Pakatan Rakyat. Konvensyen ini membuktikan
perpaduan Pakatan Rakyat semakin kukuh dan mantap. Pakatan Rakyat semakin kebal
dengan asakan parti ekstrimis UMNO yang kini berada di ambang senjakala.
2.
Bagi pihak KEADILAN saya mengucapkan tahniah dan
penghargaan kepada PAS Negeri Kedah di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Azizan
Abdul Razak yang menjadi tuan rumah kepada konvensyen ini.
3.
Konvensyen ini adalah pecutan terakhir menjelang Pilihan
Raya Umum ke 13. Pakatan Rakyat perlu bersedia untuk menggalas aspirasi rakyat
yang menuntut sebuah negara Malaysia yang adil dan sejahtera untuk semua
rakyat. Justeru itu, kita bertanggungjawab untuk bersihkan Malaysia daripada gutter
politics dan amalan kronisme serta amalan membudayakan rasuah yang
diterajui oleh UMNO. Pakatan Rakyat perlu memimpin rakyat maju ke hadapan
dengan persaingan dasar kepedulian rakyat dan mengangkat martabat rakyat
Malaysia.
4.
Pakatan Rakyat tidak lagi membicara persoalan untuk
menafikan majoriti dua pertiga. Hari ini kita yakin bahawa Pakatan Rakyat
berpotensi untuk membentuk kerajaan pusat yang baru selepas PRU ke 13.
Cita-cita ini bukan lagi diluar pencapaian Pakatan Rakyat.
5.
KEADILAN tidak berseorangan. Kita ada sahabat
seperjuangan DAP. Kita ada teman sejati PAS. Kita ada Pakatan Rakyat. Come
what may. Pakatan rakyat merupakan parti yang mempunyai substance,
punyai kekuatan dan keupayaan untuk mentadbir di Putrajaya.
6.
Rakyat sudah tidak sabar lagi untuk melihat pemerintahan
demokrasi tulen di Putrajaya berteraskan rule of law dan Perlembagaan
Persekutuan. Rakyat mahu Putrajaya diterajui oleh pemimpin yang bersih dan
menyayangi rakyat tanpa mengira ras, agama atau warna kulit. Rakyat mahu
Pakatan Rakyat segera membanteras rasuah, menghapuskan keborosan dan ketirisan
yang akan memufliskan Malaysia menjelang 2020.
7.
Hutang negara telah mencecah lebih RM450 billion atau 54%
daripada KDNK. Hutang ini akan dibebankan kepada rakyat dan generasi akan
datang. Setelah itu, rakyat tambah derita dengan kenaikan harga barang dan
dasar cukai barangan dan perkhidmatan yang bakal diperkenalkan oleh UMNO.
8.
40% daripada rakyat Malaysia masih hidup dengan
pendapatan isi rumah di bawah RM1500 sebulan. Anak muda memerlukan pekerjaan
dan kadar upah yang manusiawi. Mahasiswa menuntut kualiti pendidikan yang
menjamin kebebasan akademik. Perkhidmatan awam perlu pemerkasaan melalui
latihan dan struktur gaji yang setimpal. Kita menolak Skim Baru Perkhidmatan
Awam yang tidak menjaga kebajikan majoriti penjawat awam.
9.
Malangnya, negara sedang berdepan dengan krisis keyakinan
terhadap pentadbiran Dato’ Sri Najib yang gagal melaksanakan transformasi
politik dan ekonomi. Justeru itu, rakyat mahu Malaysia Tanpa UMNO. Pakatan
Rakyat bersedia untuk menggalas amanah ini melalui Dasar Bersama Pakatan Rakyat
dan Buku Jingga.
REFORMASI UNTUK MALAYSIA
10.
Pakatan Rakyat sudah bersedia menggalas harapan rakyat
yang cintakan kebebasan. Kebebasan adalah fitrah manusia. Lebih dua ribu tahun
yang lalu Julius Ceaser dibunuh oleh sekumpulan senator Rome yang dipimpin oleh
Brutus. Julius Ceaser berada dipuncak kekuasaannya sebagai ahli politik dan
negarawan. Dan sumbangan beliau tidak sedikit. Beliau telah menjadikan Rome
dari sebuah negara kecil kepada sebuah empayar. Tetapi beliau dibunuh kerana
mahu merampas kebebasan rakyat Rome. Setelah Ceaser dibunuh Brutus berucap di
depan rakyat Rome dan menanyakan soalan: “Who is here so base, that would be
a bondman? - Siapakah di sini yang sebegitu hina hingga mahu menjadi
seorang hamba?
11.
Semangat kebebasan ini diungkapkan kembali di abad lalu
oleh pejuang kemerdekaan India, Mahatma Ghandi: “Freedom is never dear at
any price. It is the breath of life. What would a man pay for living?”
Kebebasan itu akan ditebus dengan apa harga sekalipun kerana kebebasan itu
adalah nafas kehidupan. Semangat cintakan kebebasan tersebut menjelma di dunia
Arab hari ini. Kerana inginkan kebebasan, rakyat Tunisia mengusirkan Ben Ali.
Kerana inginkan kebebasan, rakyat Mesir mengguling Hosni Mubarak. Insha Allah
rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan akan mengusir UMNO dan Barisan Nasional
dari Putrajaya.
12.
Reformasi adalah agenda pembebasan rakyat. Reformasi juga
adalah agenda memartabatkan ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan pemikiran
rakyat. Agenda reformasi akan memecahkan mitos kononnya hanya UMNO sahaja yang
boleh memerintah dan memberikan kesejahteraan untuk rakyat. Insha Allah, di
bawah pentadbiran Pakatan Rakyat nanti, kita akan kembali memartabatkan
Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani oleh negara serantau dan
antarabangsa.
13.
Kita sudah ada Dasar Bersama yang menjadi teras
perjuangan Pakatan Rakyat. Kita sudah ada Buku Jingga dan Belanjawan Pakatan
Rakyat yang akan menjadi agenda Malaysia baru milik rakyat. Kita juga sudah ada
kepimpinan yang dinamik, berdaya saing serta teruji kesetiaan dan kebolehannya
untuk mentadbir negara. Kita mempunyai pemimpin yang amanah seperti Tuan Guru
Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Hadi Awang dan YAB Datuk Seri Azizan Razak. Kita
mempunyai pemimpin yang berkaliber seperti Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang.
Malah, sudah pasti kita mempunyai Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai
karisma dan pengalaman serta telah dibersihkan dari fitnah dan konspirasi
jahat.
KES DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
14.
9 Januari 2012 adalah tarikh kesyukuran rakyat. Hampir 15
tahun, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengharung fitnah dan konspirasi, dipenjarakan
dan ingin dipenjarakan kembali. Beliau melakukan ini semua Demi Rakyat. Beliau
mengambil ilham dari doa Nabi Syuaib a.s untuk melakukan “Islah Mas Tata’tum” -
melakukan islah, pembaruan, reformasi dengan segenap tenaga. Saya mengucapkan
terima kasih kepada rakan-rakan kepimpinan Pakatan Rakyat yang istiqamah
membela Dato’ Seri Anwar dari segala fitnah dan tidak berganjak dari pendirian
untuk menobatkan beliau sebagai Perdana Menteri.
15.
Alhamdulillah, kebenaran akhirnya muncul dan Dato’ Seri
Anwar bebas. Namun, rakyat masih belum
dibebaskan. Tarikh 9 Januari ini juga adalah bersamaan dengan tarikh keramat
kepulangan Mahatma Gandhi dari Afrika Selatan yang kemudiannya menginspirasikan
kemerdekaan dan kebebasan rakyat India. Gandhi pulang berbekal pengalaman
melihat kebobrokan dasar apartheid dan kezaliman yang melampau. Atas semangat
itu, Gandhi pulang dan berjuang habis-habisan untuk memerdekakan rakyat dan
negara India. Justeru itu, tarikh dan semangat 901 juga akan menjadi sumber
inspirasi rakyat Malaysia untuk membebaskan diri daripada perkauman sempit, salah
guna kuasa dan kebejatan UMNO.
16.
Baru-baru ini juga, Afrika Selatan baru meraikan 100
tahun kelahiran ANC. ANC yang dipimpin oleh Nelson Mandela dan rakan-rakan
berjuang melawan kejelekan dasar apartheid sehingga Mandela sendiri terkurung
di dalam penjara lebih daripada 25 tahun. Semangat dan ruh inilah yang dibawa
oleh Pakatan Rakyat semenjak gelombang kebangkitan reformasi 1998. Menolak
perkauman, melawan ketidak adilan dalam masyarakat, dan mempertahan demokrasi
adalah akar perjuangan Pakatan Rakyat.
17.
Dato’ Seri Anwar sendiri telah mengambil inspirasi
Mandela ketika membela diri di kandang tertuduh. Kenyataan beliau dari kandang
tertuduh atau Statement from the Dock telah mengulang pidato pembelaan
Mandela beberapa ketika lalu :
“Saya telah berjuang menentang
ketuanan kulit putih dan saya telah menentang ketuanan kulit hitam. Saya
mengidamkan kewujudan masyarakat demokratik dan merdeka di mana rakyat dapat
hidup bersama-sama dalam suasana harmoni dengan peluang yang setara. Ia
merupakan cita-cita murni yang saya perjuangkan dalam kehidupan ini. Namun,
jika terpaksa, saya sanggup mati demi mempertahankannya.”
18.
Saya tidak fikir Dato’ Sri Najib menjiwai perjuangan ANC
dan Mandela biarpun beliau hadir ke sambutan tersebut di Afrika Selatan.
Hipokrasi Dato’ Sri Najib dan UMNO terserlah sedang beliau dan UMNO adalah
pemimpin dan parti politik yang bersifat perkauman.
19.
Kita harus mengucapkan syabas kepada Dato’ Seri Anwar,
dan isterinya Datuk Seri Wan Azizah, Presiden KEADILAN, yang sanggup
mengharungi pancaroba ini. Cobaan ini bukanlah untuk mereka yang lemah dan
berjiwa kerdil. Dengan segala fitnah dan mehnah terhadap diri beliau, Dato’
Seri Anwar tidak pernah mengganggu usaha dan konsentrasi beliau untuk
memperkukuhkan Pakatan Rakyat sebagai wahana perjuangan demokratik rakyat.
Gandingan mereka bukan sekadar menjadikan Pakatan Rakyat sebagai gerakan
politik nasional tetapi beliau juga telah memperkenal Pakatan Rakyat sebagai “tahalluf
siyasi” yang berteraskan nilai-nilai sejagat Islam ke seantero dunia. Dato’
Seri Anwar juga telah meletakkan Pakatan Rakyat dalam
peta dan rangkaian manusiawi sejagat dalam perjuangan demokrasi, keadilan dan
karamah insaniah.
PAKATAN RAKYAT MENERAJUI MALAYSIA TANPA UMNO
20.
Pakatan rakyat adalah sebuah gerakan politik Pencerahan -
Enlightened Political Movement. Perjuangan ini berteraskan ilmu,
idealisme dan gagasan politik untuk kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.
Pakatan Rakyat menangani isu dan permasalahan rakyat dengan konsensus yang
berlandaskan perbincangan dan perdebatan sihat. Berbeza dengan UMNO yang hanya
berdasarkan emosi, fitnah dan veto kekuasaannya untuk menyelesaikan perbezaan
sesama mereka.
21.
Kita mahu membebaskan rakyat daripada hegemoni UMNO yang
sudah terlalu membarah dalam masyarakat. Pembebasan rakyat adalah kekuatan
Pakatan Rakyat untuk membina sebuah Malaysia yang gagah, A Mighty Malaysia.
Inilah yang akan kita perjuangkan:
Dari robohan Kota Melaka,
Jiwa merdeka kita
bangunkan,
Tanpa UMNO hilang petaka,
~ Ucapan Pembukaan oleh YB Mohamed Azmin Ali dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Ke 3.
