Followers

Tuesday, February 28, 2012

WikiLeaks bocorkan lebih lima juta e-mel syarikat risik AS



LONDON: Kumpulan antirahsia WikiLeaks semalam mula menerbitkan lebih daripada lima juta e-mel syarikat perisikan Stratfor, yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Satu kenyataan media WikiLeaks mendakwa e-mel bertarikh antara Julai 2004 hingga Disember tahun lalu itu akan mendedahkan rangkaian pemberi maklumat, struktur bayaran, teknik pembayaran wang yang menyukarkan sumbernya dikesan dan kaedah psikologi syarikat itu.

'Bahan-bahan itu menunjukkan cara agensi risikan swasta beroperasi dan bagaimana mereka menjadikan individu sebagai sasaran bagi pihak pelanggan korporat dan pemerintah mereka,' kata WikiLeaks.

Ia mendakwa mempunyai bukti kaitan sulit Stratfor dengan syarikat- syarikat besar seperti Dow Chemical Co di Bhopal, India, dan Lockheed Martin di Amerika serta agensi pemerintah Amerika seperti Jabatan Keselamatan Dalam Negeri; pasukan Marin dan Agensi Risikan Tentera.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sejurus selepas tengah malam semalam (waktu tempatan), Stratfor berkata penerbitan e-mel yang dicuri penggodam itu satu usaha menutup mulut dan menakut-nakutkan syarikat itu.

Stratfor, yang di bawah kepimpinan pengasas merangkap ketua pegawai eksekutifnya, Encik George Friedman, berkata tidak akan gentar.

Kenyataan itu menjelaskan tidak seperti yang dinyatakan dalam e-mel palsu yang kini disebarkan menerusi Internet, Encik Friedman tidak meletak jawatan sebagai CEO syarikat itu.

Ia menambah ada sesetengah e-mel yang diterbitkan mungkin telah dipalsukan atau diubah dan mengandungi maklumat tidak betul, walaupun ada e-mel tulen.

WikiLeaks tidak menyatakan bagaimana ia mendapat e-mel syarikat itu, yang berpangkalan di Austin, Texas, dan dahulu dikenali sebagai Strategic Forecasting Inc.

Tidak dapat dipastikan apakah kesan pembocoran e-mel itu ke atas Stratfor dan kakitangan serta pelanggannya atau sumber maklumat syarikat itu.

Pada 2010, WikiLeaks membocorkan rakaman video perang dan kabel diplomatik Amerika tentang peperangan di Iraq dan Afghanistan yang menimbulkan kemarahan pemerintah Amerika. -- Reuters, AFP.