CapitalMalls Asia Ltd semalam menafikan Farmhouse Supermarkets, yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil, akan mengendalikan pasar raya itu di pusat beli-belah The Star Vista di Buona Vista, Singapura.
'Ia bukan Farmhouse... (Penyewa) merupakan sebuah syarikat besar di Singapura dan mereka akan beroperasi di kebanyakan pusat beli-belah,' kata jurucakap bagi pemaju hartanah Singapura itu.
Kelmarin, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa keluarga Datuk Seri Shahrizat telah menggunakan dana awam syarikat National Feedlot Corporation (NFC) bernilai RM250 juta ($104 juta) bagi mendapatkan pinjaman daripada dua bank perdagangan bagi membuka pasar raya.
Semalam, Pengarah Strategik PKR, Encik Rafizi Ramli, mengakui tersilap dan berkata pasar raya itu sebenarnya menyewa unit di Rochester Mall, yang terletak bersebelahan The Star Vista.
'Farmhouse Supermarket telah menyewa unit #02-08 hingga #02-35 di sebuah pusat beli-belah yang dihubungkan dengan kondominium mewah di 35, Rochester Drive, Singapura,' kata Encik Rafizi dalam satu kenyataannya.Sehubungan dengan itu, lagi salah guna kuasa NFC didedahkan oleh pihak pembangkang.
Kali ini, ia melibatkan kesalahan melanggar Akta Syarikat kerana memberi pinjaman kepada para pengarahnya serta syarikat lain milik para pengarahnya secara tidak sah.
Setiausaha Publisiti Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Tony Pua, berkata parti itu menuntut supaya Peguam Negara bertindak segera ke atas NFC, bukan sahaja dalam kes pecah amanah (CBT) malah atas kesalahan melanggar Akta Syarikat.
Sebelum ini beliau telah mendedahkan bahawa perjanjian pinjaman RM250 juta di antara kerajaan Malaysia dengan NFC hanya boleh digunakan bagi menubuhkan dan menjalankan operasi Pusat Fidlot Nasional (PFN).
Namun, Encik Pua berkata, jelas bahawa wang pinjaman itu telah digunakan bagi tujuan selain daripada menternak lembu.
Kesalahan ini termasuk membeli kondominium mewah di Malaysia dan Singapura, serta membuat pelaburan dalam perniagaan di Singapura.
Menurutnya, pemilikan harta dan pelaburan berkenaan dengan pinjaman kerajaan tidak dibuat melalui NFC tetapi melalui pengarah-pengarah individu dalam syarikat.
'Ini bermakna NFC telah meminjamkan wang daripada kerajaan kepada pengarah individu dalam syarikat atau terus kepada syarikat yang mempunyai para pengarah yang sama dalam syarikat.
'Syarikat-syarikat yang mempunyai hubungan dengan para pengarah tersebut termasuk Meatworks (Singapore) Pte Ltd yang tidak dimiliki oleh NFC tetapi dimiliki oleh pengarah individu dalam NFC,' katanya dalam satu kenyataan kelmarin, lapor Malaysiakini. -- Agensi.