Kita semua perlukan Anwar Ibrahim ~ Sofi, Kerajaan Rakyat

Saturday, April 14, 2012

Asuh anak cemerlang menurut Islam


RUMUS Islam iaitu menurut Al-Quran dan Sunnah serta kesepakatan ulama dalam mengasuh anak sering mengambil kira dwifaktor: keturunan dan pendidikan.

Walaupun faktor keturunan atau baka penting, hujah ahli tafsir ternama dan mantan Menteri Agama Indonesia, Profesor Dr Muhammad Quraish Shihab, pendidikan lebih berperanan lagi.

Demikian ceramahnya sempena memperingati Maulud Nabi dan Haul Masjid Baalwi, dua bulan lalu.

Profesor Quraish, 67 tahun, menyebut pentingnya dalam memilih pasangan hidup.


'Dalam Perang Jamaal, Khalifah Ali bin Abi Talib ra membariskan putera-puteranya untuk berjuang iaitu Hasan dan Husin yang memang berani bersama adik sebapa, Muhammad ibn Al-Hanafiah, yang tampak kecut.'

Menurut Sayidina Ali mengenai anaknya, Muhammad: 'Kau seperti ibumu.' Ibunya ialah seorang asal hamba bernama Khawlah binti Jaafar. Hasan dan Husin pula ialah anak daripada Fatimah iaitu cucu Rasulullah saw.

Memang ulama berbahas panjang lebar mengenai mana lebih penting - baka atau asuhan.

PILIH JODOH KETURUNAN BAIK

Pun banyak ayat Al-Quran dan Hadis menegaskan peri penting agar memilih jodoh yang baik keturunannya demi menghasilkan baka (anak) yang baik. Namun, terpenting dalam aspek memilih jodoh ialah hendaklah pasangan itu beriman dan kuat beribadah.

Selanjutnya, Dr Quraish membahas erti 'mengasuh anak yang belum lahir' iaitu peringkat janin.

Al-Quran menceritakan bahawa Allah swt terlebih dahulu memberitahu para malaikat bahawa akan diciptakan khalifah iaitu Adam as untuk mentadbir bumi. Maka berlaku dialog antara Allah dan malaikat. Dialog merupakan sebahagian proses 'cinta' atau kasih sayang iaitu sebahagian makna Nama Indah Ilahi (Maha Pengasih lagi Maha Penyayang).

Sewaktu dalam rahim, ibu dan ayah boleh berdialog yang indah sesama mereka dan dengan bakal anak mereka. Bahkan, dialog yang bersifat doa ditujukan kepada Ilahi agar usia, rezeki, jodoh dan potensi anak-anak dirahmati Allah.

Peranan ibu bapa amat genting dalam mengasuh anak lebih daripada segalanya. Antara lain, hal ini terpapar pada sebuah hadis terkenal bahawa 'anak dilahirkan fitrah (Islam) tetapi yang meyahudi, menasrani dan memajusikannya ialah ibu bapanya'.

Quran secara halus menyifatkan ibu sebagai 'ladang' dan ayah sebagai 'petani'. Subur atau tidaknya ladang menuntut bukan sahaja peranan ibu, malah ayah yang perlu arif cara menyuburkannya termasuk memilih masa untuk membenih dan mendapatkan tuaiannya. Namun, apa jua ikhtiar tentulah dengan izin-Nya.

TIDAK BEZAKAN KEPENTINGAN JANTINA
Contohnya, Surah Aali Imran menceritakan isteri Imran (disebut Hana) yang berdoa untuk mendapat anak lelaki tetapi yang lahir ialah anak perempuan yang dinamakan Maryam. Memandangkan Hana sudah bernazar, maka Maryam tetap diserahkan kepada rumah ibadah yang dikelolakan oleh Nabi Zakaria as.

Islam tidak membezakan kepentingan jantina anak, hujah Dr Quraish. Anak lelaki lazimnya untuk membantu bapanya; tetapi bagi anak perempuan, maka Allah yang membantunya.

Ketika anak lahir, untaian dialognya (kasih) masih dengan ibunya dan boleh tersenyum walaupun matanya buta!

Amalan Islam seperti azan dan mengqamatkan bayi yang baru lahir sesuai dengan perintah Allah yang menyuruh manusia bersyukur kerana diberikan pendengaran, penglihatan dan hati.

Tugas ibu jauh lebih berat daripada ayah kerana bukan saja menghamilkan, bahkan menyusu sehingga mencorakkan anak, walaupun benih datang daripada bapa.

Cara mendidik anak yang utama ialah menghormati haknya. Prinsip ini amat penting dalam aspek adab. Ini kerana proses pendidikan Islam mengandungi dua teras - memindahkan ilmu dan mengajar adab (susila). Rasulullah menunjukkan rasa hormatnya kepada kanak-kanak seperti mempercepat solat ketika mendengar bayi menangis menanti ibunya berjemaah. Bahkan ketika bersolat, Nabi saw pernah 'ditunggangi' cucu-cucunya, Hasan dan Husin, yang tidak dimarahinya.

Menyayangi anak dengan mengajarnya berkasih sayang tanpa mendera, memarahi atau menakut-nakutkannya merupakan ajaran agung Rasulullah. Pastikan anak tidak memakan benda daripada sumber haram agar pertumbuhan saksiahnya bersih lagi murni. Penolong Rasulullah, Anas bin Malik ra, meriwayatkan bahawa sepanjang ingatannya membesar dalam rumah Nabi, tidak pernah baginda menegur keras, memaki atau memukulnya.

Dr Quraish turut mengupas erti 'kurikulum terselindung' (hidden curriculum) seperti ayah yang menyuruh anaknya bercakap benar, tetapi dirinya sering berbohong.

Misalnya, ketika ada panggilan telefon, ayah memberitahu anaknya jika orang bertanya, beritahu ayah tiada di rumah.

Islam juga menegah 'menakut-nakutkan' anak dengan bercerita perihal tahayul atau terlalu menjaga anak sehingga ia sukar bebas untuk bermain dan mencuba seperti mendaki pokok.

'Tanpa merasai jatuh dan sebagainya, si anak tidak dapat berdikari dan cuba memasuki alam yang mencabar,' hujah beliau.

SUASANA SEDAR KEAGUNGAN ILAHI
Usah memaksa anak tanpa memberikan alasan yang wajar atau munasabah. Ibu bapa digesa menggunakan 'kaedah Luqman Al-Hakim' seperti tertera dalam Surah Luqman iaitu sering mengingatkan anak agar jangan syirik dan menegaskan bahawa Allah Maha Mengetahui setiap niat dan tindakannya. Dengan cara ini, anak terasuh dalam suasana sedar akan keagungan Ilahi.

Contohnya, pernah Khalifah Umar Al-Khattab menemui anak gembala. Beliau menawarkan untuk membeli seekor kambing tetapi anak gembala itu enggan walaupun tuannya tiada di situ.

Khalifah Umar memujuk lagi dan anak gembala itu tetap menegaskan bahawa sekalipun tuannya tidak tahu, Allah tetap mengetahuinya.

Berlinang air mata gembira dan kesyukuran Khalifah Umar.