Monday, April 30, 2012

BERSIH 3.0: Reaksi selepas Demonstrasi DUDUK BANTAH



KENAPA GUNAKAN KEKERASAN?: Para peserta perhimpunan Bersih 3.0 berasa marah dengan tindakan polis menggunakan semburan air dan gas pemedih mata ke atas mereka, sedangkan mereka mendakwa hanya mahu membantah secara aman di Dataran Merdeka, semalam. 

KECEWA, marah dan bingung.

Itulah reaksi yang diluahkan oleh orang ramai dan peserta perhimpunan Gabungan bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 3.0 berikutan keadaan huru-hara di Dataran Merdeka, semalam.

Kecewa kerana perhimpunan yang seharusnya berjalan dengan aman dan bermotif baik menjadi kucar-kacir dan menyebabkan ramai orang cedera dan ditangkap.



Marah kerana tindakan polis ke atas rakyat Malaysia yang berhimpun dianggap keterlaluan sehingga melancarkan 'tembakan gas pemedih mata' ke arah orang ramai dan mengepung pergerakan mereka.

Bingung kerana kelonggaran yang diumumkan oleh kerajaan untuk rakyatnya berhimpun secara aman kelihatan seperti ditarik balik.

'Kami di sini bukan mencari kacau. Kami hanya mahukan keadilan dan berharap pihak kerajaan mendengar keluhan kami. Biarlah pilihan raya kali ini lebih adil dan bersih, bukan membuat kacau.

'Mengapa pihak polis bertindak keterlaluan sehingga menembak gas pemedih mata dan semburkan air kimia ke arah orang ramai. Yang ada cuma berada di kaki lima, tak buat apa-apa,' kata seorang pesara yang hanya mahu dikenali sebagai 'Encik Zul' ketika ditemui berdekatan bangunan Kamdar di perkarangan Jalan Raja, Kuala Lumpur.

Pengerusi bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan, bagaimanapun berkata pihaknya tidak menyokong tindakan individu yang bertindak memecahkan sekatan-sekatan di Dataran Merdeka sehingga menyebabkan pihak polis membalas dengan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air yang dicampurkan dengan bahan kimia.

'Kami tidak menyokong kelakuan demikian; kami mahu perhimpunan aman menuntut pilihan raya bebas dan adil di Malaysia,' kata beliau pada satu sidang akhbar di KL Sentral.

'Bersih tidak menyokong tindakan beberapa individu tertentu yang memecahkan sekatan di Dataran Merdeka,' kata beliau lagi, sambil menambah bahawa pihaknya mahu polis menyiasat semua insiden ganas yang berlaku semasa perhimpunannya yang diberi nama, 'Duduk Bantah'.

Menurut Datuk Ambiga, beliau juga tidak menafikan kemungkinan 'kelakuan luar biasa' itu dilakukan oleh para ejen provokasi kerana para penyokong Bersih tidak bertindak ganas.

Sambil berikrar untuk menuntut jawapan daripada pihak pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik N Surendran, berkata suasana perhimpunan aman tetapi tidak faham mengapa pihak polis bertindak keras dengan menembak gas pemedih mata ke arah orang ramai 'secara sembarangan' sehingga beberapa orang dilaporkan cedera.

'Sekarang, kami mahu Perdana Menteri Najib, Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin (Tun Hussein) dan keseluruhan kerajaan BN (Barisan Nasional) bertanggungjawab atas kekejaman terhadap rakyat aman negara ini,' katanya ketika ditemui di Jalan Masjid India.

'Rakyat berhimpun dengan aman. Ia hak mereka di bawah undang-undang, dan apa yang mereka tuntut adalah perkara baik - pembaharuan sistem pilihan raya. Kami mahukan jawapan dan saya fikir rakyat negara ini akan menghukum BN dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang,' tambahnya.

Sebelum BERSIH 3.0