Saturday, May 26, 2012

Aishwarya Rai hilang daya penarik

Gelaran Ratu Cantik Dunia 1994 yang pernah dianugerahkan kepadanya sedikit masa dahulu kini dipertikaikan.

Aishwarya Rai yang dulunya punya rupa paras serta susuk tubuh yang layak menerima gelaran wanita tercantik dunia itu kini berubah menjadi wanita tembam yang mengalami kesukaran menurunkan berat badan selepas melahirkan anak sulungnya, Aaradhya November lalu.

Mungkin jika Aishwarya Rai atau mesra disapa Aish dulu bukan pemenang Ratu Cantik Dunia, hal ini tidak akan dijadikan isu besar.

Tetapi disebabkan dia dikenali di peringkat antarabangsa, maka masalah berat badannya ini dipandang sebagai perkara penting buat peminatnya juga rakyat di India.

Malah, aktres ini juga dikritik kerana gagal dapat kembali potongan asal badannya seperti selebriti lain yang pernah melahirkan anak.

Hampir enam bulan selepas melahirkan anak Aishwarya Rai masih lagi kekal dengan tubuh badan berisi, Aish mula dikritik peminat apabila gambarnya yang ketika itu dengan dagu berlapis tersebar di internet.

Foto yang terpampang di laman sesawang itu kini dilihat sebanyak 500,000 kali dengan pelbagai komen negatif dan kecaman terhadap kemunculan terbaru aktres itu.

Tidak kurang juga salah seorang peminat meninggalkan komen yang bertulis, “Sebagai aktres Bollywood adalah menjadi tugasnya untuk tampil menarik dan cantik.”

Penghantar komen turut membandingkan aktres itu dengan beberapa selebriti Hollywood lain seperti Angelina Jolie, Victoria Beckham dan Beyonce yang berjaya mendapatkan susuk tubuh asal selepas melahirkan anak dalam tempoh yang singkat.

Sebagai ratu cantik juga, Aish dianggap memalukan negaranya kerana hadir di khalayak ramai dengan potongan badan sebegitu.

Baru-baru ini, Aish yang merupakan duta Longines dijemput menyampaikan anugerah Most Elegant Lady yang dimenangi Carolyn Coe di acara Dubai World Cup.

Tindakannya yang hadir ke acara-acara penting tanpa sebarang rasa malu membuatkan ramai peminat memperkatakan mengenai aktres ini.

Namun, aktres berusia 39 tahun ini juga seperti tidak menghiraukan cakap-cakap orang mengenai dirinya dengan tampil di khalayak ramai.

Terbaru, Aish juga dijangka bakal memeriahkan Festival Filem Cannes 2012 yang kini berlangsung di Perancis.