Tuesday, May 1, 2012

Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. Daulat Tuanku. 'Walk with me'

Sultan Muhammad V

Prakata: Dari barisan Sultan yang bertahta di bumi Melayu, hanya Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang menyentuh sunabari Kerajaan Rakyat sebagai Sultan Berdaulat.

Daulat Tuanku. 
Daulat Tuanku. 
Daulat Tuanku.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V akan mengetuai Walkathon Diraja 2012, yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat, pada Khamis ini yang dijangka akan disertai 30,000 orang.  

Bendahari Pertubuhan Kerabat Diraja Kelantan Al-Muhammadi, Tengku Ibrahim Farihaddin Datuk Tengku Faisal, berkata walkathon edisi kedua itu akan melibatkan penyertaan rakyat pelbagai lapisan termasuk penjawat awam kerajaan negeri dan persekutuan.

"Sultan Muhammad V dijangka mengetuai (menyertai) walkathon sejauh tujuh kilometer bermula dari Stadium Sultan Muhammad IV dan berakhir di tempat yang sama," katanya kepada pemberita di Istana Balai Besar, di Kuala Lumpur.


Tengku Ibrahim berkata, sepanjang walkathon itu beberapa batang jalan akan ditutup iaitu jalan di belakang stadium, Jalan Bayam, Jalan Mahmood, Jalan Temenggong; Jalan Padang Garong dan Jalan Hospital.


Katanya, sempena walkathon yang bertemakan "Walk With Me 2012" itu satu karnival akan diadakan selama tiga hari mulai Selasa di perkarangan stadium itu.

Antara acara di karnival itu ialah pameran industri asas tani dan pasar tani mega dengan kerjasama FAMA, persembahan kebudayaan, pertunjukan kereta dan tatu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta ceramah perdana.

Tengku Ibrahim berkata sehingga hari ini lebih 24,000 orang dari seluruh negeri telah mendaftar untuk menyertai walkathon itu yang bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat.  

Katanya, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra dijangka menutup karnival itu pada Khamis malam.

Beliau berkata, setiap peserta dewasa dikenakan bayaran RM30, manakala mereka yang berumur bawah 18 tahun, RM25.

Katanya, sebarang sumbangan yang diberikan untuk karnival itu diberi pelepasan cukai pendapatan dan pertubuhan itu akan mengagihkan sumbangan itu kepada badan-badan kebajikan.

Bernama