Friday, May 25, 2012

Pakatan Rakyat guna satu manifesto untuk PRU13

Pakatan Rakyat akan menggunakan satu manifesto sahaja dan mengutamakan isu ekonomi dan pendidikan sebagai strategi memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-13.
    
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata ketiga-tiga parti terbabit telah membincangkan pembahagian kerusi di peringkat nasional dan menyelesaikan banyak pertindihan kerusi kecuali sebilangan kecil, termasuk satu di Kedah, yang dijangka selesai Jun ini.
    
"Majlis Presiden parti menetapkan garispanduan mengenai peruntukan kerusi dan saya yakin dengan semangat muafakat yang kuat dalam PR (Pakatan Rakyat, PRU kali ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PR dan Barisan Nasional," katanya.
Kerusi yang sememangnya dimenangi parti komponen Pakatan Rakyat (pada pilihan raya lepas) tidak akan diminta untuk dirundingkan (pembahagiannya), katanya kepada pemberita selepas melancarkan SISMEP 3.0 dan penyerahan bahan-bahan kempen pilihan raya kepada semua pengarah pilihan raya PKR di Kedah dan Perlis di Alor Setar hari ini.
    
Azmin yang juga pengarah pilihan raya PKR berkata sebanyak 13 juta risalah pilihan raya telah dicetak untuk diedarkan kepada pengundi dengan memberi tumpuan pengundi muda di seluruh negara.

Beliau yakin Pakatan Rakyat mampu mempertahan Kedah kerana sokongan pengundi muda yang semakin melonjak.

Bernama