Friday, May 11, 2012

Pilihanraya Umum 13: Lebih separuh rakyat akan undi BN


Hampir separuh daripada rakyat Malaysia akan mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang, menurut dapatan daripada tinjauan Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaysia.

Ia sekali gus menunjukkan laluan berliku bagi Pakatan Rakyat untuk merampas Putrajaya dan peranan golongan atas pagar memainkan peranan besar menentukan kemenangan parti bertanding.

Menurut tinjauan itu, pelbagai dasar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendapat sokongan meluas dengan hampir dua pertiga responden memihak kepadanya.

Di peringkat persekutuan, BN mendapat sokongan 49 peratus, Pakatan 21 peratus manakala 30 peratus lagi tidak pasti, lapor laman berita Malaysiakini.

Sehubungan dengan itu, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan, ditukil sebagai berkata bahawa sambutan ulang tahun ke-66 Umno yang akan berlangsung hari ini memberikan keyakinan buat BN kembali memperolehi majoriti dua pertiga bagi memerintah Malaysia.

Beliau menyandarkan keyakinannya itu berdasarkan pemerhatian terhadap gerak kerja dan persediaan BN menjelang pilihan raya umum akan datang.

'Saya positif dan optimis BN akan terus perintah Malaysia selepas pilihan raya umum akan datang.

'Saya sudah pergi banyak tempat dan pada firasat saya BN akan menawan Selangor, Kelantan, Kedah dan beri sedikit masa lagi, BN mungkin akan menawan Pulau Pinang dan mendapat majoriti dua pertiga semula,' katanya.

BN kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan kalah di lima negeri - Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - pada pilihan raya umum (PRU) 2008.

Bagaimana pun, Perak kembali diperintah BN selepas tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat keluar parti menjadi Adun bebas mesra BN. -- Agensi.

Insaflah wahai wanita