Wednesday, May 2, 2012

"Sekolah Demonstrasi" Polis Diraja Malaysia

1979 sehingga 2012 – 33 tahun menyertai, mengalami tindakan serta kini mengamati demonstrasi jalanan. (Bahagian 1 – ‘disekolahkan’ oleh PDRM!)

Sewaktu baru menjadi student di Univ Malaya pada tahun 1979, dunia terkejut apabila Soviet Union menceroboh Negara Afghanistan. Sebuah Negara yang penduduknya majority umat Islam dilanggar oleh sebuah Negara komunis. Maka bermulalah kebangkitan pelajar membuat demo terhadap Soviet Union di Kuala Lumpur. Inilah demo pertama saya.

Di Univ Malaya selepas solat Jumaat, kami berarak ke Varsity Green untuk melakukan solat hajat. Demo adalah anjuran PMIUM. Saya tahu tak semua pelajar univ turun, lebih-lebih lagi yang bukan Melayu. Bagi yang Melayu pun tak ramai yang turun bersolat sama kerana ramai pelajar rasa malu berbuat demikian!. Namun bagi saya inilah naluri jiwa saya dan inilah usaha kecil kami umat Islam yang perihatin dengan nasib umat Islam lain yang kena tindas. Saya juga telah pergi ke kedutaan Soviet di Jalan Ampang untuk berdemo.



Selepas ini, saya sudah lupa berapa banyak demo yang saya telah sertai sekitar Kuala Lumpur. Kedutaan Amerika Syarikat seingat saya ada beberapa kali saya kunjungi dalam demo.  Kedudukan kedutaan itu yang hampir dengan Bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak telah menjadikan surau/mesjid Tabung Haji sebagai tempat berkumpul bagi pendemo. Jika tak silap saya, demo itu adalah sewaktu pencerobohan AS ke atas Iraq. Kami bersolat Jumaat di surau/mesjid Bangunan Tabung Haji.

Belum lagi jemaah selesai bersolat untuk memberi salam, dibelakang kami, sudah kedengaran sorak-sorak meminta bersedia untuk berdemo. Cepat-cepat kami selesaikan solat dan bergegas setelah selesai mengaminkan doa. Kelihatan beberapa lelaki sedang berteriak, bersorak, menjerit meminta barisan dibuat untuk berdemo ke kedutaan AS. Seorang yang lantang dan tangkas pergerakannya adalah seorang yang memakai helmet, berbaju melayu, berseluar panjang dan dengan sebuah beg kecil bersilang di bahunya. Dia yang nampaknya beriya-iya menyuruh kesemua yang hadir beratur serta bersorak mengutuk AS. Kami ikut sama.

Mamat tu di depan sekali sambil melambai-lambai tangan agar kita berjalan dengan terus bersemangat ke arah pintu utama di depan gate kedutaan AS. Dengan begitu bersemangat dia berjalan sambil bersorak dan menjerit mengutuk AS. Mamat ini berjalan antara pendemo sambil merampas dengan rakus banner-banner yang agak sensitif bahasanya. Bendera Palestine yang dibawa beberapa pendemo jugak dirampas oleh kawan-kawan dia. Benak otak saya bertanya jika mamat ini seorang dari pendemo, kenapa dia merampas banner dan bendera??.

Mereka berjaya membawa barisan pendemo terus di depan lori FRU dan berdepan dengan lori ‘water canon’. Beberapa pemimpin politik dari Pas terus berucap mengutuk AS. Kemudian, kami membuat beberapa baris lalu terus beratur untuk melakukan solat hajat. Segala-galanya berlaku dengan cepat dan pantas. Belum sempat kami memulakan solat, kami terus disirami oleh air berasid. Bertempiaran larilah kami semua.

Mamat bertopi keledar sudah tak kelihatan lagi. Kami lari sehingga ke kedutaan Indonesia, Jepun dan mencari tempat mencuci badan yang terkena air asid. Ramai yang terkena dan ramai yang terbatuk-batuk terkena gas juga. Kami membantu sesama sendiri walaupun kami tak mengenali satu sama lain. Yang hadir perasan saya 100% berbangsa Melayu beragama Islam dengan anggaran 5000 orang pendemo!

Kami rehat sehingga kering badan masing-masing. Hati saya ingin melihat ke mana perginya mamat bertopi keledar itu. Adakah dia jugak terkena air asid dan gas pemedih mata?. Lama saya berehat. Minda terpahat kat mamat bertopi keledar itu. Tak tahu kenapa perasaan hati terasa begitu. Setelah keadaan Jalan Tun Razak reda, saya pun keluar menahan teksi. Saya suruh teksi hantar saya ke tempat saya menyimpan kereta di Jalan Ampang. Masa melalui kedutaan AS dalam teksi, keadaan sudah tenang tetapi polis dan FRU masih berada di sana. Sampai di tempat simpan kereta, saya membeli masa dengan makan dan minum di kedai berdekatan. Selesai makan, saya mendapatkan kereta semula, dan saya pusing mengarah ke arah kawasan kedutaan AS melalui Langgak Golf. Saya memusing di Kelab Golf dan masuk semula ke Jalan Tun Razak menghala ke Ampang Park. Jalan sudah reda dan trafik sudah beransur pulih.

Dari jauh, saya perhatikan hanya ada sebuah kereta rondaan polis parking di depan kedutaan AS itu. Lori-lori FRU dan truk air asid sudah beredar. Diseberang jalan di depan kedutaan itu, saya nampak beberapa anggota polis beruniform sedang berbual di tepi motosikal masing-masing. Saya memberi isyarat untuk berhenti jauh sedikit dari mereka. Bayangkan apa yang saya nampak?. Kelihatan mamat berbaju melayu DAN bertopi keledar juga ada di situ berbual-bual gembira bersama anggota-anggota polis itu. Setelah beberapa ketika, saya terus beredar dengan berasa amat yakin bahawa mamat berbaju melayu DAN bertopi keledar itu adalah seorang ANGGOTAPOLIS!

Maka saya sudah berjaya disekolahkan oleh PDRM bahawasanya mereka adalah perancang dalam demo tanpa rakyat dan pendemo sedari.  

The MIND!!!