Friday, June 22, 2012

Hutang korporat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary mencecah RM34.3 billion

Adakah Malaysia akan berhadapan krisis kewangan sekali lagi akibat hutang korporat terkumpul kumpulan anak-anak syarikat jutawan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang mencecah RM34.3 billion?

Pada krisis ekonomi Asia tahun 1997/988, kita menyaksikan kejatuhan syarikat kroni UMNO Renong Berhad yang telah muflis akibat hutang melebihi RM20 billion atau sekitar 7 peratus jumlah hutang di bank yang menyebabkan kerugian ratusan juta ringgit kepada pelabur-pelabur mereka sendiri.

Apa pula ‘helah’ kerajaan apabila Rang Undang-Undang Perbelanjaan Tambahan diusulkan di Parlimen dengan jumlah besar peruntukan sebanyak RM8 billion yang meliputi hampir 40 peratus dari Belanjawan 2012? Bukankah ia akan dilihat sebagai “memastikan keuntungan kepada syarikat kroni?”

Dan mengapa kerajaan Barisan Nasional terus amalkan kronisme, iaitu memberi projek besar kepada ‘kawan’ tanpa perlu ada tender terbuka, serta tanpa mengira sama ada syarikat-syarikat kroni tersebut layak, mampu atau berkebolehan? Kesannya, rakyat sendiri yang terpaksa menanggung hutang besar apabila kroni-kroni tersebut gagal dalam perniagaan mereka.

“Yang menghairankan ialah, mengapa Pelabuhan Pulau Pinang diswastakan kepada Seaport Terminal (Johor) Sdn. Bhd. milik Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sedangkan Syed Mokhtar mempunyai sejumlah hutang yang besar?

“Lebih mengejutkan lagi, banyak khabar angin mengatakan bahawa Syed Mokhtar juga sedang cuba untuk mendapatkan Pelabuhan Kelang (Northport Holding) dan juga KTM Berhad,” soal Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berikutan pengesahan Jabatan Perdana Menteri mengenai penswastaan pelabuhan Pulau Pinang.

Pua bimbang masalah yang sama akan berulang, iaitu isu Renong yang merupakan salah satu syarikat terbesar dan penting kepada kerajaan BN. Syarikat ini mempunyai lingkungan perniagaan yang meluas melibatkan kepentingan dalam pembinaan lebuh raya seperti PLUS, UEM, Linkedua termasuk landasan KTM dan Putra LRT, hartanah, telekomunikasi dan banyak lagi. Kemudian Renong menghadapi hutang amat besar.

Katanya, kumpulan syarikat Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary mempunyai hutang terkumpul sebanyak RM34.3 billion yang merupakan lebih dari 10 peratus hutang korporat tertunggak tempatan sehingga 2011 manakala anggaran jumlah tunai dan asset cair syarikat-syarikat ini cuma sebanyak RM7.8 billion sehingga Mei 2012.

“Hutang sebanyak RM34.3 billion ini jauh melebihi dari hutang yang ditanggung Renong ketika itu sebanyak RM20.0 billion. Perkara ini telah menyebabkan kebimbangan umum kerana kita bimbang wang pembayar cukai negara ini digunakan untuk menyelamatkan syarikat gergasi,” ujarnya.

Empayar perniagaan yang besar dengan hutang yang tidak terurus
Dalam satu media di Parlimen semalam, Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara turut mendedahkan beberapa empayar syarikat dan industri milik Syed Mokhtar dalam empat kategori entiti.

Katanya, Syed Mokhtar memiliki RM51.8 peratus saham MMC Corporation Berhad yang mempunyai hutang tertunggak sebanyak RM24.2 billion.

“Seperti yang kita tahu, anak-anak syarikat MMC Corporation adalah Malakoff Corporation, Gas Malaysia, Aliran Ihsan Resources, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Johor, Senai Airport Terminal Services, Terowong SMART dan syarikat usahasama MMC-Gamuda,” tambah beliau.

Menurutnya, entiti kedua terbesar milik Syed Mokhtar ialah DRB-Hicom yang menanggung hutang RM5.7 billion termasuk hutang RM3.0 billion untuk memiliki Proton Berhad. Kumpulan syarikat yang lain ialah Edaran Otomobil Nasional, MODENAS, Honda Malaysia, Bank Muamalat, PUSPAKOM, Alam Flora, POS Malaysia, Defence Technologies dan beberapa syarikat pembangunan hartanah.

“Beliau juga memiliki 43.0 peratus saham Tradewinds (M) Berhad yang merupakan entiti ketiga terbesar milikannya yang mempunyai hutang berjumlah RM3.48 billion.

“Syarikat ini memiliki BERNAS yang memonopoli pembelian, import dan pengedaran beras di Malaysia, Central Sugar Refinery dan pegangan kecil dalam Malaysian Sugar Manufacturing Berhad yang sama-sama memonopoli pasaran gula Malaysia termasuk Tradewinds Plantation,” katanya

Persoalan yang terjawab
Harga gula negara ini sentiasa meningkat dari masa ke masa sedangkan kerajaan menanggung sejumlah subsidi yang besar. Setelah harga gula dunia berada pada paras tertinggi iaitu US$29.47 (RM89.66) setiap seratus Pound pada Julai 2011, ia mula jatuh setiap bulan sebanyak 20.5 peratus dan mencatatkan sebanyak US$23.42 pada Disember.

Pada Bajet 2012 yang lalu, sebanyak RM367 juta subsidi ditambah kepada RM198 juta yang diperuntukkan. Walau bagaimana pun, penambahan ini tidak berkadar terus dengan kenaikan harga gula sebenar yang menimbulkan persoalan siapa yang sebenarnya mendapat keuntungan dari subsidi ini.

Menurut Pua, Syed Mokhtar juga memilki Tradewinds Corporation dengan 71.5 peratus pegangan di mana syarikat tersebut menanggung beban hutang sebanyak RM890 juta.

“Tradewinds Corporation mengurus beberapa hotel utama di Malaysia termasuk Crowne Plaza Mutiara Kuala Lumpur, Hotel Hilton di Kuching dan Petaling Jaya dan juga Hotel Istana,” jelasnya.

Menurutnya lagi, kerajaan persekutuan perlu menjelaskan tindakan yang telah diambil untuk memastikan krisis kewangan 1998 tidak berulang di mana rakyat menjadi mangsa kesan hutang gergasi-gergasi korporat kroni..

“Segalanya perlu dijalankan dengan telus dan berintegriti agar rakyat dapat mengetahui seterusnya menilai tindakan yang diambil kerajaan.

“Kementerian Kewangan juga perlu menyediakan satu data yang menjelaskan kedudukan institusi kewangan kita, badan-badan berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT),” jelasnya.

Mengkhianati wang pembayar cukai
Isu melibatkan ‘subsidi’ sering didakwa kerajaan BN sebagai untuk meringankan beban rakyat sedangkan ia terang-terang bercanggah dengan dasar subsidi itu sendiri.

Syarikat-syarikat tertentu yang mendapat subsidi dari kerajaan dilihat mempunyai kepentingan dengan UMNO-BN malah bersifat memonopoli walau pun mereka tidak mempunyai rekod kewangan yang baik.

Kerajaan sepatutnya memastikan agar wang cukai yang dikutip dari rakyat Malaysia digunakan untuk kepentingan seluruh rakyat dan bukan digunakan untuk membayar kebobrokan yang dilakukan oleh kroni mereka sendiri.

Akhirnya, ia memungkinkan krisis ekonomi yang akan menggugat kestabilan negara. – Roketkini.com
Apakah berdosa rakyat menegur Sultan

Sultan Johor Wajib Baca!!! AnakDerhaka. -

I'm still virgin