Monday, June 25, 2012

Pegawai tentera AS diajar Islam musuh negara


WASHINGTON: Satu kursus bagi pegawai tentera Amerika Syarikat mengajar bahawa musuh Amerika adalah Islam secara umum, dan bukan setakat para pengganasnya.

Malah, ia turut mengajar bahawa negara itu mungkin akhirnya perlu memusnahkan bandar-bandar suci penganut Islam, seperti Makkah dan Madinah, tanpa mengendahkan kematian orang awam, berikutan adanya contoh kejadian sebelumnya, seperti serangan nuklear ke atas bandar Hiroshima, Jepun, semasa Perang Dunia Kedua atau pengeboman tentera bersekutu di bandar Dresden, Jerman.

Pihak Pentagon menggantung kursus itu pada lewat bulan lalu apabila seorang pelatih membantah bahan-bahan kursus tersebut.

Biro Siasatan Federal (FBI) juga menukar beberapa latihan ejennya tahun lalu selepas mendapati bahawa ia juga bersikap kritikal terhadap Islam.

Pengajaran dalam kursus tentera itu kelihatan bertentangan dengan kenyataan berulang kali oleh para pegawai Amerika sejak sedekad lalu bahawa Amerika sedang memerangi pelampau Islam dan bukan terhadap agama itu.

'Mereka benci terhadap apa sahaja yang anda pertahankan dan tidak dapat hidup bersama anda,' kata seorang instruktor kursus tentera itu, Leftenan Kolonel Matthew Dooley, semasa memberi ceramah kursus di Kolej Kakitangan Angkatan Tentera Bersama di Norfolk, Virginia.

Kolej tersebut, yang dikhususkan bagi anggota tentera profesional, menawarkan kursus kepada para pegawai pangkat pertengahan dan kakitangan awam pemerintah mengenai subjek-subjek yang berkaitan dengan perancangan dan melaksanakan peperangan.

Leftenan Kolonel Dooley juga menganggap bahawa, bagi tujuan rancangan perang bersifat teorinya itu, Konvensyen Geneva, yang menetapkan piawaian bagi konflik senjata, 'tidak lagi relevan' dalam suasana masa kini.

Beliau menambah: 'Ini akan sekali lagi membuka kesempatan melaksanakan perang ke atas penduduk awam di mana sahaja yang diperlukan (contoh sebelumnya di Dresden, Tokyo, Hiroshima, Nagasaki, masih boleh digunakan...).'

Rancangan perang beliau mengusulkan kemungkinan 'Arab Saudi diancam kebuluran... status Islam diturunkan menjadi kultus' dan bandar-bandar suci Islam seperti Makkah dan Madinah di Arab Saudi 'dimusnahkan'.

Salinan persembahan ceramah beliau telah diperolehi dan disiarkan dalam talian oleh ruang blog Danger Rom di laman Wired.com.

Kolej Kakitangan Angkatan Tentera Bersama itu tidak menjawab permintaan agensi berita Associated Press (AP) mendapatkan salinan dokumen itu tetapi seorang jurucakap Pentagon mengesahkan dokumen tersebut.

Leftenan Kolonel Dooley masih bertugas di kolej itu tetapi tidak lagi mengajar di sana, kata Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Martin Dempsey. -- AP 
Baca: UMNO Berusaha Merosakkan Akidah Umat Islam

Klik Topik di bawah untuk bacaan seterusnya