Friday, June 1, 2012

PM Thai sokong langkah lulus undang-undang yang boleh bebaskan Thaksin

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Cik Yingluck Shinawatra, menyokong langkah partinya meluluskan undang-undang yang boleh membebaskan abang beliau yang sedang diburu polis, sambil berkata bahawa satu resolusi terhadap pergolakan politik sejak rampasan kuasa 2006 boleh menuju kepada kestabilan.
"Perdamaian harus diterima oleh majoriti rakyat," kata Cik Yingluck, dalam satu wawancara dengan agensi berita Bloomberg News di Bangkok semalam, di tengah-tengah bangkangan terhadap draf saranan yang menggesa diadakan pengampunan ke atas tuduhan tertentu sejak para jeneral tentera Thai menggulingkan abangnya yang juga bekas perdana menteri Thailand, Encik Thaksin Shinawatra.

"Kami menerima mandat jelas daripada rakyat," ujarnya.
Parlimen Thailand, yang terdiri daripada 500 anggota, mewakili 66 juta rakyat negara itu dan adalah tempat terbaik bagi menyelesaikan perbezaan pandangan yang telah mencetuskan protes jalanan yang membawa maut sejak beberapa tahun lalu, kata Cik Yingluck, tanpa menunjukkan sokongannya terhadap salah satu daripada empat usul tertentu, yang kesemuanya boleh membebaskan abang beliau.
Parti Puea Thai pimpinannya memenangi undian majoriti dalam pilihan raya hampir 11 bulan lalu.
Kenyataan itu mewakili sebahagian besar sokongan awam terhadap usaha parti beliau meluluskan undang-undang yang membolehkan Encik Thaksin pulang ke Thailand selepas beliau melarikan diri daripada hukuman penjara pada 2008.
Cik Yingluck sedang bergantung pada penguasaan majoritinya dalam parlimen dan hubungan lebih baik dengan pihak tentera bagi mengelakkan berulangnya protes pada tahun itu, yang mendorong para penentang abang beliau merampas lapangan terbang Bangkok.
"Sekarang suasananya berbeza lagi kerana orang ramai sudah sedar secukupnya selepas rampasan kuasa itu," kata Cik Yingluck, 44 tahun.
"Mereka yang memulakan rampasan kuasa itu seperti Jeneral Sonthi (Boonyaratglin), juga mengakui bahawa ini bukan cara yang betul bagi menyelesaikan masalah," katanya lagi.
Pemimpin rampasan kuasa itu, Jeneral Sonthi Boonyaratglin, yang memimpin satu rampasan kuasa tentera pada 2006 dan kini seorang ahli parlimen, telah membentangkann salah satu daripada saranan pengampunan itu di Parlimen.
Bagaimanapun, polis terpaksa bertindak, kelmarin, selepas beberapa ahli parlimen pembangkang dari Parti Demokrat cuba mengusir Speaker Parlimen Thai, Encik Somsak Kiatsuranont, daripada mempengerusikan sesi itu.
Encik Thaksin tinggal di luar negara sejak melarikan diri daripada hukuman penjara dua tahun ke atasnya kerana membantu isterinya membeli tanah daripada kerajaan Thai.
Pihak mahkamah juga merampas aset keluarganya berjumlah 46.4 bilion baht ($1.9 bilion) pada 2010. - Agensi.
Pakatan Polis, Kongsi Gelap dan Ahli Politik 
Untuk Perhatian Sultan Johore 
Barisan Nasional Memajakkan Tanah Rezab Melayu 
Wanita Paling Seksi Di Dunia 2012 
YB Faraj binti Zakar 
Isabella Amy Search