Friday, June 1, 2012

'Tsunami selatan' diramal landa pilihan raya umum

SHAH ALAM: Jika perubahan senario politik empat tahun lalu dikaitkan dengan tsunami politik dari utara, perkembangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) didakwa akan bertolak dari selatan Semenanjung.
Dalam hal ini, Parti Islam SeMalaysia (PAS) menggelarkannnya sebagai "tsunami dari selatan", menurut Setiausaha Agung Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Mustafa Ali, dalam satu laporan akhbar setempat, semalam.
"Pada PRU kali ini, saya melihat kecenderungan tsunami muncul dari arah selatan iaitu sokongan di negeri Johor khususnya semakin meningkat, tidak seperti dahulu apabila kita sering hilang deposit. Kami nampak peningkatan kali ini," kata Datuk Mustafa Ali, semasa di temubual oleh akhbar Sinar Harian dan laman webnya, Sinar Harian Online, kelmarin.

Ekoran tsunami politik pada 8 Mac 2008, PAS, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), di bawah satu kerjasama politik, berjaya menguasai kerajaan negeri di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.
PAS telah menerajui Kelantan sejak 1990, manakala pentadbiran negeri Perak direbut semula oleh Barisan Nasional (BN) selepas tiga wakil rakyat PR mengubah haluan menjadi wakil rakyat bebas yang condong kepada BN pada awal 2009.
Selain memenangi lima kerajaan negeri pada PRU ke-12 itu, ketiga-tiga parti pembangkang Malaysia itu turut memperoleh 84 kerusi Parlimen, sekali gus menghalang BN daripada menguasai majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat.
Menyusuli kejayaan itu, ketiga-tiga parti tersebut membentuk kerjasama politik secara rasmi atas nama Pakatan Rakyat (PR).
Mengulas lanjut, Datuk Mustafa berkata pihaknya yakin bahawa tsunami politik kali ini akan muncul dari kawasan selatan Malaysia sebab "tsunami dari arah utara sudah kering, sudah tepu".
"Jadi tsunami dari arah selatan pula," kata beliau secara berseloroh tetapi memperlihatkan keyakinan yang dicerminkan oleh pakatan pembangkang yang berusia empat tahun itu.
Berkaitan dengan tanggapan itu, PAS telah memutuskan mencalonkan Naib Presidennya, Encik Salahuddim Ayub, bertanding di Johor.
Sebelum ini, Encik Salahuddin pernah mengesahkan bahawa beliau akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dan ia akan menjadi keutamaan beliau.
Ditanya berapa negeri yang difikirkan beliau boleh dimenangi PR pada PRU 13 ini, Datuk Mustafa berkata negeri yang dimenangi sebelum ini akan dikekalkan.
"PR yakin menang (balik) di Perak, Terengganu, Negeri Sembilan, (manakala) Johor, Melaka dan negeri yang lain akan berlaku peningkatan sokongan terhadap PR.
"Di Pahang, keluasannya besar dan adalah negeri (kelahiran) Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), tidak mudah bagi PR, tetapi yakin akan berlaku peningkatan sokongan," kata pemimpin PAS dari Terengganu itu.
Pakatan Polis, Kongsi Gelap dan Ahli Politik 
Untuk Perhatian Sultan Johore 
Barisan Nasional Memajakkan Tanah Rezab Melayu 
Wanita Paling Seksi Di Dunia 2012 
YB Faraj binti Zakar 
Isabella Amy Search