Friday, August 10, 2012

Anwar Ibrahim: Lambang keterbukaan Pakatan Rakyat

Persetujuan bersama semua negeri Pakatan Rakyat menggunakan tema dan logo Hari Kemerdekaan yang sama melambangkan keterbukaan Pembangkang dalam membuat keputusan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Walaupun berbeza pendapat, tetapi setelah kata sepakat dicapai, mereka kembali bersatu demi kepentingan rakyat. Ia membuktikan sikap keterbukaan dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

Ketua Pembangkang itu berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini mengulas keputusan tiga negeri Pakatan yang sebelum ini mahu menggunakan tema Kemerdekaan masing-masing.
“Setelah perbincangan oleh pimpinan tertinggi Pakatan, keempat-empat negeri kini bersetuju menggunakan logo serta tema yang sama,” kata Anwar.
Beliau sebelum itu melancarkan logo Hari Kemerdekaan Pakatan Rakyat bagi menggantikan logo yang ditetapkan kerajaan Umno BN.
Logo ciptaan Ilusenidesign.com itu dipilih untuk digunakan pada sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September ini.
1 Ogos lalu, Pakatan Rakyat memilih ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ sebagai tema alternatif Hari Kemerdekaan ke-55 bagi menggantikan tema ‘Janji Ditepati’ oleh kerajaan Umno BN.
Tema tersebut dipilih oleh Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tema Hari Kemerdekaan Pakatan Rakyat.
Tema ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ diilhamkan Alhaimi Adam, merangkumi tiga elemen utama untuk membina negara sejahtera.