Sunday, August 5, 2012

China tak galak Muslim berpuasa

BEIJING: China tidak menggalakkan sebahagian penduduk Islam Uighur di wilayah Xinjiang daripada berpuasa pada bulan Ramadan. Pihak berkuasa berkata, langkah itu disebabkan kebimbangan mengenai kesihatan penduduk.
Laman web pemerintah di beberapa bandar, daerah dan kampung di wilayah itu mengeluarkan notis yang melarang atau tidak menggalakkan anggota Parti Komunis, kakitangan perkhidmatan awam, pelajar dan guru daripada berpuasa.
Pakar ekonomi etnik Uighur di Beijing, Encik Ilham Tohti, berkata peringatan itu bukan sesuatu yang baru di Xinjiang tetapi pihak berkuasa seolah-olah memperketatkan peraturan pada tahun ini.
Jurucakap pihak berkuasa wilayah, Encik Hou Hanmin, pula dipetik sebagai berkata oleh akhbar Global Times bahawa pihak berkuasa menggalakkan penduduk makan seperti biasa untuk belajar dan bekerja tetapi tidak memaksa sesiapa supaya tidak berpuasa.

Menurut beliau, usaha memerangi pelampau agama dan pengganasan merupakan satu keutamaan di wilayah itu.
Kenyataan dari pihak berkuasa Zonglang, daerah di kawasan Kashgar, menyatakan 'jawatankuasa daerah mengeluarkan dasar menyeluruh bagi mengekalkan kestabilan sosial ketika Ramadan'.
"Adalah dilarang bagi anggota Parti Komunis, pegawai awam (termasuk yang sudah bersara) dan pelajar berpuasa."
Satu kenyatan di laman web pemerintah Xinjiang pula menggesa pemimpin parti itu membawa makanan sebagai hadiah kepada pemimpin tempatan bagi memastikan mereka makan ketika Ramadan.
Mengulas, Kongres Uighur Sedunia memberi amaran bahawa tindakan itu akan menyebabkan penduduk Islam meningkatkan penentangan terhadap China.
Ia disuarakan oleh jurucakap kumpulan itu, Encik Dilshat Recit.
Ada sekitar sembilan juta penduduk Uighur yang beragama Islam di Xinjiang.
Seorang pakar berkaitan kumpulan minoriti Islam di China, Encik Dru Gladney, dari Maktab Pomona di California berkata:
"Saya berpendapat usaha menjadikan golongan etnik Uighur lebih sekular merupakan satu usaha yang silap. Ia hanya akan mencetuskan tindak balas. Golongan etnik Uighur akan menjadi lebih marah terhadap parti (Komunis) kerana tidak menghormati amalan agama mereka."
Isnin lalu, Jabatan Negara Amerika Syarikat mengeluarkan laporan sedunia berkaitan kebebasan beragama dan membidas pihak berkuasa di Xinjiang kerana menindas dan menyekat amalan agama, selain gagal "membezakan antara amalan agama yang aman dan kegiatan jenayah atau pengganasan."
Menteri Luar China bagaimanapun menyifatkan dakwaan itu sebagai berat sebelah dan satu campur tangan luar dalam isu dalamannya. - AP, Reuters.

Semua orang pasti gembira ketika berbuka puasa. Namun lebih gembira & bahagia di kala kita semua dapat bertemu dengan Allah dalam syurgaNya. Jesteru ikhlaskan ibadah kita hanya kerana Allah & perbaikilah kualiti ...
UMEA (Sweden): Umat Islam di Sweden mengerjakan ibadat puasa bulan Ramadan lebih sukar tahun ini kerana terpaksa berlapar lebih lama - sehingga 18 jam kerana musim panas di utara Eropah. Presiden Liga Islam ...
... maka sudah pastilah tiada apa-apa upacara ibadah khusus –sama ada solat khusus, atau puasa khusus atau bacaan khusus- yang Nabi s.a.w lakukan sempena tahun baru hijrah kerana kiraan tahun baru hijrah belum ...