Wednesday, August 15, 2012

KEADILAN LANCAR KEMPEN “TURUNKAN HARGA KERETA”

Kempen “Turunkan Harga Kereta” akan mengambil kesempatan cuti balik kampung sempena Hari Raya Aidilfitri agar maklumat mengenai cadangan KEADILAN menurunkan harga kereta melalui penghapusan cukai eksais secara berperingkat akan sampai ke seluruh pelosok negara.
Bagi tujuan ini, KEADILAN telah mencetak 50,000 pelekat kereta “Turunkan Harga Kereta” yang akan diagihkan mulai hari ini di sekitar Lembah Klang dahulu. Pelekat ini akan diagihkan di tol-tol oleh wakil rakyat dan petugas-petugas KEADILAN. Selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, pelekat kereta ini akan dicetak dan diagihkan ke seluruh negara melalui pejabat-pejabat KEADILAN setempat.

KEADILAN juga melancarkan laman Facebook Turunkan Harga Kereta di alamatfacebook.com/turunkanhargakereta. Kami menyeru seberapa ramai rakyat menyokong laman ini dan menyebarkan logo “Turunkan Harga Kereta”.

Selain dari pelekat kereta, KEADILAN juga telah mengubahsuai sebuah kereta Proton Tiara berusia 15 tahun menjadi kereta rasmi kempen. Kereta ini akan dilancarkan hari ini oleh YB Zuraida Kamaruddin yang mendermakan kereta ini bagi tujuan kempen.

Bermula 24 Ogos 2012, pasukan “Turunkan Harga Kereta” dari KEADILAN akan mula menjelajah tempat-tempat terpilih di Lembah Klang dan seluruh negara sebagai sebahagian dari Jelajah Turunkan Harga Kereta. Selain mengedarkan risalah dan pelekat kereta kempen di tempat-tempat ini, pimpinan KEADILAN akan turut sama menaiki kereta rasmi ini dan menyampaikan penerangan kaedah menurunkan harga kereta yang dicadangkan KEADILAN.

KEADILAN juga akan mengadakan forum “Turunkan Harga Kereta” yang melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat di Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bharu, Alor Setar, Kota Kinabalu dan Kuching bermula 2 September 2012 untuk menerangkan dengan lebih terperinci mekanisme menurunkan harga kereta. Maklumat lanjut bagi setiap forum akan diumumkan dari semasa ke semasa di laman Facebook kempen.

KEADILAN yakin desakan menurunkan harga kereta adalah satu tuntutan yang disokong sebahagian besar rakyat Malaysia. Logo kempen yang dipilih dipastikan tidak melambangkan unsur politik supaya semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan politik boleh bersatu dan bersetuju bahawa masanya telah tiba untuk memastikan harga kereta di Malaysia tidak membebankan rakyat.

Kami menyeru semua rakyat Malaysia membantu promosi kempen ini dengan menghiasi laman Facebook dan Twitter mereka dengan logo “Turunkan Harga Kereta” bermula hari ini.

           
YB NIK NAZMI NIK AHMAD
PENGARAH KOMUNIKASI KEADILAN
YB SIM TZE TZIN
TIMBALAN KETUA PENERANGAN KEADILAN


BIRO KOMUNIKASI
PARTI KEADILAN RAKYAT
A-1-09, Merchant Square
No. 1, Jalan Tropicana Selatan 1
47410 Petaling Jaya