Saturday, August 18, 2012

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)


PERUTUSAN EIDUL FITR 1433 H
Syawal yang menjelang adalah keraian kepada kemenangan ruhiyyah. Kemenangan setelah umat Islam keluar daripada Ramadhan yang menjadi medan tarbiyyah ruhiyyah serta kejayaan menundukkan hawa nafsu serta mempertingkatkan amalan dan ketaqwaan untuk mendapat keredhaanNya.

Perjuangan sepanjang bulan Ramadhan yang berlalu kini disambut dengan Eidul Fitr yang bermakna kembali kepada fitrah sebagai seorang manusia yang bersih dan suci. Terdapat dalam fitrah manusia juga adalah semangat keadilan dan kebencian kepada kezaliman. Maka merayakan fitrah juga bermakna merayakan semangat keadilan dan menggilap iltizam menentang kezaliman. Sesungguhnya perjuangan melawan hawa nafsu dan memperbaiki diri ke arah kebaikan merupakan jihad yang dituntut oleh Islam. Namun, Sheikh Yusuf Qardawi dalam Taurah Sha'ab turut mengingatkan kita kepada hadis yang menyebut bahawa :
 

"Sebaik - baik jihad adalah menyatakan kebenaran pada penguasa yang zalim"
                                                                                   
                                                                                                                                   (Riwayat Imam Ahmad)

Justeru saya menyeru para pencinta kebenaran agar memperkukuh tekad perjuangan yang kian bersemarak ini. Kita harus sedar negara Malaysia ini harus diselamatkan daripada budaya rasuah, fitnah serta ketidakadilan yang merosakkan jalinan ukhwah dalam masyarakat. Nilai moral dan akhlak yang baik perlu dipupuk agar mengembalikan kemuliaan insan yang kian tercemar.

Kemuliaan Insan, atau Dignity of Man merupakan tema utama yang diungkapkan pemikir Islam seperti Ibnu Qutaibah yang kemudiannya mempengaruhi pemikir utama zaman Renaissance iaitu Pico Della Mirandola. Tidaklah lengkap "weltanschauung", pandang dunia pemikiran manusia sekiranya tidak meletakkan peranan insan atau manusia sesuai dengan fitrahnya. Hasrat ini pastinya merentasi sempadan keyakinan, warna kulit mahupun ras.

Oleh kerana itu tidaklah salah menjelang sambutan Eidul Fitr, hari kemenangan menawan nafsu serta kejahatan, hari insan kembali kepada fitrah iaitu kepada kebaikan, kita bersama-sama merenung tema Sambutan Hari Kemerdekaan ke 55 yang disaran Pakatan Rakyat; Sebangsa Senegara Sejiwa. Apatah lagi Sambutan Kemerdekaan ke 55 kali ini juga dalam bulan Syawal. Tema tersebut sejajar dengan gesaan fitrah sekaligus mengangkat harakat kemuliaan insan kerana ianya meraikan persamaan dan menerima perbezaan. Bukanlah asing terutamanya buat umat Islam untuk meraikan persamaan antara mereka yang punya keyakinan berbeza dan ras kerana pesan Al Quran untuk kita saling kenal mengenali; Li Taarafu dan Kalimatus Sawa. Dengan semangat ini rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama boleh mencipta zaman baru, satu Renaissance bangsa Malaysia.

Akhir kata, saya dan keluarga mengucapkan salam eidul fitr kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Malaysia. Semoga kemenangan ini menguatkan azam dan tekad kita untuk bersatu demi rakyat dan menegakkan keadilan.

Minal 'aidin wal faidzin, maaf zahir dan batin.

Eid Mubarak

Timbalan Presiden

--
Pejabat YB Mohamed Azmin Bin Ali

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)
Ahli Parlimen Gombak
Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa